Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.
Bertemu kita kembali. Kali ini saya ingin kongsikan kepada semua berkenaan
Pokok Hempedu Bumi. Ada seorang officemate telah membawa pokok ini ke office untuk
disedekahkan kepada sesiapa yang berminat. So, sayapun tak pernah tau tentang
khasiat pokok ini. Rasanya tengok pun tak pernah. Huhuhu.. apalagi minta
bantuan encik google untuk dapatkan maklumat lanjut la kan..huhu..
Ini adalah info untuk kita kongsikan bersama. Pokok
Hempedu Bumi atau nama saintifiknya Andrographis juga sinonim dengan nama Justicia
latebrosa merupakan sejenis tumbuhan herba berubat. Ianya terkenal di kalangan
pengamal perubatan tradisional China, Ayurvedic dan Yunani.
Hempedu Bumi dipanggil juga sebagai
akar cerita, hempedu tanah, bidara (Melayu), mompoit (Sabah), sambiloto
(Indonesia), kalmegh (India), nilavempu (Tamil) chuan xin lian (China) dan King
of the bitter (Inggeris).
Pokok Hempedu Bumi merupakan tumbuhan
semusim yang tumbuh menegak dan renek sesuai ditanam sepanjang tahun pada semua
jenis tanah (bris, liat dan gambut) dengan jangka masa tanaman 8 hingga 10
minggu. Walaubagaimanapun, tanaman ini memerlukan kawasan bersaliran baik.
Hempedu Bumi mempunyai nilai
perubatan yang tinggi. Penduduk Asia menggunakan herba ini untuk merawat
masalah berkaitan penghadaman, pernafasan, demam, batuk dan penyakit
berjangkit.
Di kalangan masyarakat Melayu, air
rebusan tumbuhan ini digunakan untuk merawat demam, darah tinggi, cirit birit,
luka, ulser, gigitan serangga dan menghapuskan cacing dalam sistem pencernaan.
Daun Hempedu Bumi ini boleh dijadikan
ubat untuk menurunkan darah tinggi disamping merawat penyakit kencing manis.
Cara menjadikannya ubat ialah dengan hanya merebus daun tersebut dan airnya
diambil untuk diminum. Air rebusan yang pahit ini dipercayai mengandungi bahan
kimia tumbuhan yang boleh memecahkan molekul lemak yang ada di sekeliling salur
darah yang tersumbat.
Daun Hempedu Bumi ini juga boleh
merawat luka dengan cara menumbuk lumat daun tersebut dan meletakkannya pada
luka terutamanya pada luka gigitan ular dan sengatan serangga
Hasil kajian ke atas tumbuhan ini
menunjukkan ianya mengandungi banyak bahan-bahan kimia dari kumpulan
diterpenoids lactone dengan kadar antara 65 hingga 70 peratus contohnya
angrographolide dan neoangrographolide. Bahan kimia ini mungkin penyumbang
besar dalam mengawal dan merawat penyakit-penyakit yang telah dinyatakan di
atas.
Terdapat kajian-kajian bukan klinikal
dan klinikal telah dilakukan ke atas haiwan dan manusia dengan menggunakan
serbuk dan pati (ekstrak) A. paniculata. Kajian-kajian ini telah membuktikan
bahawa Hempedu Bumi boleh membantu dalam merawat penyakit malaria
(antimalarial), masalah darah beku (antithrombotic), diabetis, kanser dan darah
tinggi.
Namun, berdasarkan maklumat yang
diperolehi dari Monograf Hempedu Bumi, produk tradisional yang mengandungi
Hempedu Bumi boleh memberi kesan sampingan seperti ketidakselesaan dalam perut,
muntah dan kehilangan selera makan. Produk ini juga tidak boleh diambil oleh
ibu yang sedang mengandung dan ibu yang menyusukan bayi. Tiada kajian atau
maklumat mengenai kegunaan hempedu untuk kanak-kanak dengan itu, pengguna perlu
mendapat nasihat doktor terlebih dahulu sebelum memberi ubat tradisional
tersebut kepada kanak-kanak.
Pengguna juga dinasihatkan untuk
memilih produk tradisional yang telah berdaftar dengan Kementerian Kesihatan
Malaysia. Pengguna perlu mendapat nasihat doktor sekiranya mengalami alahan dan
kesan sampingan yang berlarutan.
Rujukan
- http://agromedia.mardi.gov.my
- http://www.myhealth.gov.my