ISLAM
DAN MEROTAN ANAK
Baru-baru ini Menteri
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim
mengumumkan akan menggubal akta baharu menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 yang
akan dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya Jun depan, dengan memasukkan
hukuman terhadap ibu bapa yang merotan anak mereka.
Perkara ini telah menimbulkan isu dan harus dikaji semula kerana
merujuk kepada keputusan menjatuhkan hukuman ke atas ibu bapa yang merotan anak
mereka (seperti kes Azizul Raheem Awaluddin dan Shalwati Norshaldi di
Switzerland pada tahun 2014) boleh membawa kepada pemisahan sementara antara
kanak-kanak dengan ibu bapa mereka.
Sebagai umat islam, beberapa perkara harus ditik berat didalam
pendidikan anak-anak. Saya amat tertarik dengan artikel yang ditulis oleh Prof
Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Saya kongsikan disini untuk ingatan
saya sebagai ibubapa dan panduan untuk semua pembaca. Tugas kita sebagai
ibubapa sebenarnya berat. Kita menggalas amanah Allah. Kita perlu jadi contoh
teladan yang baik kepada anak-anak. Jangan menjadi ketam yang berjalan senget
tetapi mahu anak-anaknya berjalan lurus.
Pertama,
Asas pendidikan dalam Islam ialah panduan yang jelas, tunjuk ajar yang penuh
hikmah (wisdom)
dan contoh teladan yang baik. Inilah isyarat al-Quran dalam Surah al-Isra ayat
24 ketika mengajar kita berdoa untuk ibubapa dengan doa:
“Katakanlah:
wahai Tuhanku kasihanilah kedua mereka (ibubapaku) SEPERTI mana mereka
membesarkanku semasa kecil”.
Ertinya, jika diteliti dari arahan doa yang diajar oleh al-Quran
tersebut bahawa pendidikan ataupun membesarkan anak (bringing up process) yang
menjadi tanggungjawab ibubapa hendaklah dengan sifat kasihan ataupun rahmah (mercy). Justeru, hanya
ibubapa yang membesarkan anak dalam suasana kasih simpati sahaja yang mendapat
bahagian dari doa ini. Allah mengajar doa kepada anak, tapi dalam masa yang
sama mengingatkan ibubapa tentang cara mendidik dan membesarkan anak.
Kedua, Adapun hadis
tentang memukul anak, hendaklah dilihat dalam kerangka maksudnya yang betul. Di
sana juga ada ayat al-Quran (Surah al-Nisa: 34) yang menyebut tentang memukul
isteri, apakah selepas ini kita akan mempertahankan perangai sesetengah suami
yang suka memukul isteri?! Ayat itu berkaitan isteri yang nusyuz (derhaka) setelah segala proses
pendidikan yang baik gagal. Sementara suami pula seorang yang bertanggungjawab
menunaikan segala kewajibannya di sudut nafkah zahir dan batin. Pukulan pula
dengan cara yang tidak mencederakan dan meninggalkan kesan kesakitan yang serious tetapi sekadar memberikan amaran
tentang kesungguhan maksud suami. Hanya dalam suasana sebegitu di samping suami
dengan ciri yang begitu sahaja boleh memukul isteri dengan syarat yang
disebutkan tadi.
Ketiga, tiada galakan dalam nas Islam agar kita memukul anak.
Bahkan kita tidak wajar memukul anak yang belum mumayyiz (mampu membezakan antara yang
baik dan buruk). Hadis hanya menyebut memukul pada umur sepuluh tahun setelah
melalui proses yang panjang. Sabda Nabi s.a.w:
“Suruhlah
anak-anak kamu bersolat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukul kerana
meninggalkan solat ketika berusia sepuluh tahun” (Riwayat Abu Daud, sahih).
Ertinya, ketika berusia tujuh tahun saban hari sebanyak lima
waktu dia mendengar perintah bapa atau ibunya ‘marilah bersolat’. Maka, selama
tiga tahun lamanya dia akan mendengar seruan kepada solat dengan penuh cinta
dan manja. Tanpa kekerasan, tanpa paksaan. Pujukan demi pujukan. Sehingga
perintah solat sebati dengannya dan dia memahami maksud solat. Solat diingati
bersama hubungan kasih sayang ibubapa yang berbicara dan memujuknya setiap kali
azan berkumandang. Mungkin pelbagai upah dan janji diberikan. Dia bermesra
dengan bapanya yang akan membawanya ke tempat solat. Dia mempelajarinya dari
pelajaran dan teladan. Tidak dipukul melainkan setelah tiga tahun melalui tempoh
ini. Jika dia dipukul pun setelah berusia sepuluh tahun, dia akan faham itu
adalah pukulan kasih dan cinta. Pukulan itu tidak mencederakan atau mendapatkan
kesakitan yang serious.
Keempat, betapa untuk
sampai kepada tahap memukul memerlukan satu proses yang panjang padahal itu
membabit soal asasi dalam hayat seorang muslim iaitu solat. Maka, mana-mana
bapa sewenang-wenang memukul anak, dia bukan seorang bapa yang baik dan telah
melanggar ajaran agama. Lebih malang lagi jika bapa itu sendiri bukan teladan
yang baik seperti bapa yang merokok memarahi anaknya merokok. Sama juga bapa
kurang bertanggungjawab terhadap nafkah dan pendidikan anak, tiba-tiba memukul
anak, maka mereka adalah pengkhianat amanah Allah.
Kelima, Kegagalan pendidikan hari ini, tiada kaitan dengan rotan
ataupun tidak, tetapi berkaitan dengan faktor penting pendidikan insan itu
sendiri iaitu; kejelasan arah dalam
pembentukan anak, teladan yang baik
dan suasana yang membina. Inilah
tiga faktor penting yang telah dimusnah oleh pelbagai keadaan. Mereka yang cuba
mengaitkan merotan anak sebagai kejayaan pendidikan Islam adalah satu
kedangkalan yang nyata.
Keenam, jika ada ibubapa yang memukul anak tanpa alasan yang
benar, dalam keadaan yang tidak munasabah, mendatangkan kecederaan yang kekal
ataupun kesakitan yang serious, maka itu
bercanggah dengan ajaran Islam dan boleh untuk pemerintah menganggapnya sebagai
satu jenayah untuk diambil tindakan.
Sumber
: drmaza.com.. Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
No comments:
Post a Comment