Jom Klik Iklan

Wednesday, December 31, 2014

TEGURLA DENGAN BERHEMAH

TEGURLAH DENGAN CARA YANG BAIK




Ni guna barang orang ada minta kebenaran x? ” (sambil cakap kuat-kuat di khalayak sedangkan dia bukan tuan punya barangtu dan sebenarnya peminjam  barangtu sudah dari awal minta kebenaran dengan tuan punya barang.. Kenapa orang yang xda kena mengena tu terlalu sibuk  nak cari kesalahan dan  aibkan orang yer… sedangkan tuan punya barang pun  xda macamtu)
Hai xkan xda orang nak kemas tempat ni..(si polan)  xleh nak tolong kemaske ? ” (sambil cakap dengan kuat di khalayak dengan suara lantang . Memandang orang yang disebut nama dari jarak jauh sahaja.  Sebenarnya apa tujuan dia ye..kalau nak minta tolong ke nak arahkan ke..cakap je direct kepada orangtu. Tidak perlula bersuara lantang agar semua orang dengar.  Apa tujuannya? Orang tu ada melakukan kesalahan ke? Orangtu memang patut di aibkan ke? Agak2 jika keadaan ini berlaku pada anda?? Anda semua suka ke ???
_____________________________________________________________
Di atas, saya berikan beberapa situasi yang mungkin sering berlaku atau jarang sekali berlaku pada anda atau sesiapa sahaja di sekeliling anda.
Apa yang anda rasa apabila membaca dialog dialog di atas? atau mungkin anda sendiri boleh bayangkan perasaan anda apabila ada seseorang yang ingin menegur anda dengan menggunakan ayat ayat di atas…
Terus confidence level anda yang menggunung jatuh merudum macam bola yang dicampak dari tempat yang sangat tinggi.
Setiap orang tak lari dari melakukan kesalahan terutama sekali apabila kesalahan yang disebabkan lidah yang tak bertulang itu. Tak salah jika ingin memberi pendapat, menegur dan menasihati jika berniat ingin melihat orang yang ditegur itu menjadi lebih baik, tetapi bagaimana cara kita menegur dan meluahkan pendapat kita itu sangat diambil berat even dalam Islam sekali pun.
Islam adalah agama yang mulia. Tidak bolehkah kita menegur seseorang dengan cara yang lebih baik ?


Tegurlah dengan cara yang boleh diterima. Gunakan pujian dan berlemah lembut kepada rakan anda, bukannya dengan mengutuk atau mengeji dan bercakap dengan lantang dikhalayak. Ingat, tiada manusia yang sempurna termasuk diri kita sendiri. bagaimana pun juga kita tetap ada kekurangan kita sendiri. Jangan menegur dia kerana merasakan pendapat kita sentiasa yang terbaik dan teguran kita sahajalah yang sentiasa betul. Beri kebebasan kepada orang yang ditegur untuk explore sendiri yang mana betul dan yang mana salah. Jangan terlalu cepat menghukum seseorang kerana merasakan kita lah orang yang terbaik.Ingat dan ingat !

Tegurlah seseorang bukan di kawasan khalayak ramai atau ketika bersama rakan -rakan. Menegur mereka ketika bersama orang lain hanya menjatuhkan maruah dan membuka aib orang itu sendiri. Tidakkah anda takut Allah akan membuka aib anda di akhirat kelak? Bahkan ketika anda menegur itu, keyakinan rakan anda dan persepsi rakan anda kepada anda sendiri akan berubah 360 darjah. Sedikit sebanyak hubungan persahabatan anda dan rakan itu sedikit renggang sekiranya dia seorang yang tidak dapat menerima cara teguran anda.

BAHAYA SALAH GUNA UBAT

JANGAN SALAH GUNA UBAT


Ramai wanita di Malaysia mengidamkan kulit cerah. Tidak hairan produk kosmetik untuk tujuan itu semakin meningkat permintaannya. Fenomena ini semakin berleluasa apabila ramai pengguna, terutama wanita, berani mengambil ubat secara oral atau suntikan untuk mencerahkan kulit selain produk kosmetik.

Antara ubat yang semakin berleluasa dijual secara tidak sah di media sosial dan blog adalah asid Tranexamic. Penjualan ubat ini bertujuan mencerahkan kulit dengan mengambilnya secara oral atau suntikan.

Ubat ini juga dijual secara kombinasi dengan suntikan vitamin C bagi memberi kesan lebih ketara kepada penggunanya. Namun, adakah indikasi sebenar ubat asid Tranexamic untuk memutihkan kulit? Setiap ubat yang didaftar dengan Kementerian Kesihatan adalah dengan indikasi tertentu bersama bukti kajian klinikal. Ubat asid Tranexamic didaftarkan untuk mengawal pendarahan daripada terus berlaku. Ubat ini akan memastikan proses pembekuan darah terus utuh dan pendarahan dapat dielak atau dihentikan.

Oleh itu, ubat ini kerap digunakan doktor dalam situasi pesakit wanita mengalami pendarahan haid tidak berhenti atau pesakit mengalami pendarahan hidung yang berterusan.

Ubat ini juga digunakan untuk mengawal pendarahan ketika dan selepas pembedahan prostat, pendarahan organ yang abnormal seperti di paru-paru dan buah pinggang serta rawatan mengubati gejala seperti eritema, bengkak dan gatal kulit teruk.

Semua ubat mempunyai kesan sampingan, begitu juga ubat asid Tranexamic. Doktor perlu menimbangkan manfaat dan risiko ubat ini sebelum diberi kepada pesakit.

Antara kesan sampingan umum ubat asid Tranexamic adalah pening kepala, sakit sendi, sakit dan kekejangan otot, saluran hidung tersumbat, sakit perut dan badan lesu.

Kesan sampingan serius dan memerlukan rawatan segera pula adalah kesan alergi (ruam, gatal kulit, sukar bernafas, bengkak pada muka, bibir atau lidah), sakit kaki, bengkak dan sakit seluruh badan, sakit dada, dada berasa ketat dan sukar bernafas, keliru, batuk berdarah, kurang atau susah membuang air kecil, gangguan penglihatan warna dan kabur, rasa kebas pada lengan atau kaki, sawan, pening teruk, pendek pernafasan, muntah dan kelesuan luar biasa.

Ubat asid Tranexamic tidak boleh digunakan jika pesakit mempunyai sejarah alergi terhadap ubat ini, mengalami penyakit tromboembolik, gangguan penglihatan warna, wanita mengalami masalah pendarahan haid tidak teratur, individu mengalami pendarahan otak, darah dalam air kencing atau pendarahan akibat masalah buah pinggang, ibu mengandung dan menyusukan anak serta individu menggunakan ubat kontraseptif estorgen dan progesterone.

Individu mempunyai masalah pembekuan darah atau situasi yang meningkatkan risiko pembekuan darah juga tidak boleh menggunakan ubat ini. Sebagai contoh, pesakit yang ada masalah injap jantung atau degupan jantung.

Ubat asid Tranexamic membantu memberhentikan pendarahan, justeru penggunaannya tanpa pemantauan doktor sangat berbahaya kerana dikhuatiri berlaku tromboembolisme, yang mana gumpalan darah berlaku dalam salur darah dan hanyut bersama aliran darah.

Seterusnya gumpalan darah ini boleh tersumbat pada salur darah penting di otak dan jantung yang menyebabkan berlaku strok dan serangan jantung.
Ubat asid Tranexamic juga menyebabkan pening kepala dan akan bertambah teruk jika diambil bersama alkohol atau ubat lain. Ubat ini juga tidak disyorkan bagi remaja berumur bawah 18 tahun kerana status keselamatan dan keberkesanan ubat ini tidak dapat ditentukan.

Penyalahgunaan ubat ini dilakukan oleh individu tidak bertauliah atau ada ilmu dalam bidang perubatan dan kesihatan. Mereka yang menjual ubat asid Tranexamic biasanya mencadangkan dos penggunaan harian yang tidak betul, malah ada yang mencadangkan ubat ini dibuka daripada kapsulnya dan dicampurkan dalam minuman jus buah atau air untuk disapukan pada muka.

Tindakan seperti ini tidak disyorkan oleh pengilang, malah tiada bukti klinikal menunjukkan tindakan seperti itu lebih berkesan dan boleh mencerahkan kulit.
Rakyat Malaysia harus menjadi pengguna lebih bijak. Jangan mudah percaya dan terpedaya dengan promosi jualan di Internet berkaitan ubat asid Tranexamic untuk mencerahkan kulit.

Sehingga kini tiada data saintifik bahawa ubat ini berkesan untuk mencerahkan kulit. Malah, tidak berbaloi jika dilihat harga jualan ubat ini yang mencecah enam kali ganda harga cadangan jualan runcit oleh pengeluar.

Pengguna dinasihat mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi terlebih dulu sebelum menggunakan produk asid Tranexamic. Jangan terlalu ghairah ingin memiliki kulit lebih cerah sehingga memperjudikan nyawa akibat serangan jantung atau strok kesan penggunaan ubat ini.

Ubat ini hanya sesuai digunakan oleh pesakit yang mendapat rawatan doktor untuk masalah pendarahan, bukan pecerahan kulit.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) di talian 1 800-88-6722.

SUMBER : HARIAN METRO, 28 Dis 2014

Tuesday, December 30, 2014

SESI PERSEKOLAHAN DITANGGUH SEMINGGU LAGI


SESI PERSEKOLAHAN BARU BERMULA 11 DAN 12 JANUARI 2015

Kementerian Pendidikan telah bersetuju untuk menangguhkan permulaan sesi persekolahan di seluruh negara bagi tahun 2015 selama seminggu berikutan banjir yang melanda negara ketika ini, demikian umum Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, dengan penangguhan ini, tarikh baru sesi bermula persekolahan tahun 2015 bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah pada 11 Januari 2015 (Ahad).
Manakala bagi negeri-negeri lain akan bermula pada 12 Januari 2015 (Isnin).

Penangguhan ini juga dibuat setelah mengambil kira;

a) Sekolah-sekolah yang terlibat sama ada sebagai PPS atau ditenggelami air akan mengambil masa untuk dipulihkan; dan

b) Keadaan guru-guru, ibu bapa dan murid yang menjadi mangsa banjir serta serba kekurangan perlu mengambil masa untuk pemulihan dan membuat persiapan persekolahan mereka.


Beliau berkata, sekiranya keadaan banjir pulih, pihak pengurusan sekolah hendaklah menggunakan tempoh berkenaan untuk mengadakan gotong royong pembersihan kawasan sekolah masing-masing bagi memastikan murid-murid dapat belajar dalam keadaan selamat, selesa dan sempurna.

AWAN CUMULONIMBUS, AWAN PALING DITAKUTI


Awan Cumulonimbus 

merupakan awan padat vertikal yang menjulang tinggi, mirip gunung atau menara, Kumulonimbus (Cumulonimbus) berasal dari bahasa Latin, "cumulus" bererti mengumpulkan dan "nimbus" bererti hujan. Awan ini terbentuk hasil dari ketidakstabilan atmosfera.
Awan ini dapat terbentuk sendiri, secara berkelompok, atau di sepanjang front dingin di garis squall. Awan ini berkembang menjadi supersel, rebut petir kuat dengan ciri istimewa. Awan ini juga merupakan awan yang paling ditakuti oleh penerbangan udara.


Sekarang musim hujan, awan ini terdapat banyak di ruang udara.




Wednesday, December 24, 2014

KESERONOKAN BEKERJA


Terima kasih kerana berkunjung. Entri kali ini berkenaan Keseronokan berkerja . Keseronokan bekerja merupakan perasaan yang menyenangkan, menyedapkan hati apabila melaksanakan sesuatu tugas atau tanggungjawab yang diberikan.    
Sebenarnya baru-baru ini saya mengikuti kursus keseronokan bekerja. Memang seronok dan aktivitinya memang padat dengan pelbagai pengisian yang menarik.
Keseronokan bekerja merupakan tonggak ketiga dari dua belas tonggak yang perlu diamalkan oleh semua kakitangan awam di semua peringkat organisasi.
Berdasarkan pengamatan dan pengalaman saya, keseronokan bekerja dapat diperolehi jika;
Pertama, bekerja hendaklah dijadikan suatu ibadah kerana ibadah itu membawa ganjaran. 
Tujuan manusia dicipta oleh Allah SWT dinyatakan oleh Al Quraan dalam Surah Az Zariat ayat 57, bermaksud “Tidak Ku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat pada Ku.” 
Kedua, kerja itu hendaklah dijadikan cabaran yang memerlukan bukan saja daya usaha malah pemikiran dan kreativiti. Ia merupakan sumbangan yang hendaklah dikaitkan dengan kebajikan untuk masyarakat dan negara. Dengan sendirinya kita akan merasa puas kerana sumbangan kecil itu telah berjaya membangunkan negara. 
Ketiga, jika kerja itu kita anggap domain kita atau pengkhususan kita maka dengan sendirinya kita menjadi pakar yang diiktiraf.”

Keempat, Kita akan seronok bekerja apabila sentiasa bekerjasama. Kerjasama yang baik akan menghasilkan hasil kerja yang bermutu dan persekitaran kerja yang ceria dan seronok.

FENOMENA 'FULL MOON', MONSUN TIMUR LAUT CETUS BANJIR LUAR BIASA


Fenomena 'full moon' iaitu kedudukan bulan berhampiran dengan Bumi yang menyebabkan air pasang adalah antara faktor yang mencetuskan banjir luar biasa di kawasan pantai timur tahun ini.

Pegawai Meteorologi Kanan, Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata keadaan banjir menjadi lebih teruk apabila ditambah dengan tiupan angin Monsun Timur Laut secara konsisten merentasi Laut China Selatan ke negara ini bermula bulan November hingga Mac.

"Meskipun hujan semakin reda dan tidak lagi lebat, namun air banjir dilihat sukar untuk surut disebabkan fenomena 'full moon' yang mana bulan berada dekat dengan bumi yang menyebabkan air pasang lebih tinggi daripada biasa.

"Selain itu, hujan yang tidak berhenti sebelumnya menyebabkan aliran sungai dari hulu ke kuala tidak sampai sehingga menyebabkan air sungai melimpah keluar sehingga menyebabkan banjir teruk," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan hujan lebat akibat tiupan angin Monsun Timur Laut di Kelantan, Terengganu dan Pahang sejak minggu lalu akan berterusan sehingga awal Januari depan.

"Namun keadaan cuaca dijangka bertambah baik pada hari ini hingga esok berikutan ramalan kami menunjukkan hujan hanya berlaku di satu atau dua tempat di negeri-negeri berkenaan," katanya.

Dr Mohd Hisham berkata, musim Monsun Timur Laut yang membawa hujan lebat sehingga kini membabitkan tiga episod, iaitu yang pertama pada akhir bulan November, kedua pada 16 hingga 19 Disember dan ketiga pada 22 Disember hingga 25 Disember 2014.
"Walaupun cuaca dijangka baik pada dua hari itu, kami menjangkakan ada episod keempat iaitu bermula pada 28 Disember sehingga 31 Disember dan mungkin akan berterusan sehingga awal bulan Januari," katanya.

Dr Mohd Hisham berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan banjir akan berlaku lagi selepas 28 Disember ini di kawasan kedudukan rendah dan berdekatan dengan sungai.
"Ketika musim Monsun Timur Laut, kawasan pantai timur dijangka mengalami empat hingga lima episod hujan lebat menyeluruh dan berterusan selama tiga hingga tujuh hari pada November hingga Januari 2015, serta kawasan barat Sarawak dan Sabah pada Januari hingga Mac 2015.

"Oleh itu, penduduk yang tinggal di kawasan tepi sungai dan rendah dinasihatkan supaya sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk banjir," katanya.

Sementara itu, menurut Jabatan Meteorologi, angin kencang timur laut dengan kelajuan dari 60 kilometer sejam yang berlaku di kawasan perairan Pantai Timur Semenanjung, Sarawak, Sabah dan Labuan dijangka berterusan hingga esok.

Selain itu, laut bergelora dengan ketinggian ombak sehingga 5.5 meter turut dijangka berlaku di kawasan tersebut yang berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.

Menurut kenyataan itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut sehingga esok.


- BERNAMA

Thursday, December 18, 2014

DALAM REZEKI KITA ADA REZEKI KUCING



Tiga Petanda Kenapa Kucing Datang Kepada Kita
Bila kita makan di kedai makan atau makan dirumah yang memelihara kucing, tiba-tiba ada kucing datang minta makanan dengan kita. Kenapa tak pada orang lain? 
3 tanda apabila kucing datang kepada kita bukan orang lain,

Pertama
Allah sedang beritahu makanan kita, hak kita itu bukan semuanya rezeki kita. Sebahagiannya rezeki kucing itu. Sebab itu ia datang pada kita.

Kedua
Allah sedang beritahu apabila kita memberi makanan kepada kucing itu, rezeki lain akan Allah ganti yang lebih baik. Sebab 1 kebaikan itu Allah balas 10 kebaikan @ pahala. Allah Maha Mampu bagi lebih dari itu.

Ketiga
Allah sedang bagi tahu apabila kita tak memberi makanan kepada kucing itu, sebenarnya kita sedang menolak rezeki baru yang Allah nak bagi kepada kita. Rezeki itu luas, bukan hanya pada wang. Tetapi meliputi semua kehidupan. Ingin ikhlas memberi, berilah pada haiwan kerana haiwan tak pandai ucap terima kasih kepada kita. Ia hanya tahu minta dan makan.


Wednesday, December 17, 2014

SERUPA TAPI TAK SAMA - ULAM RAJA & RUMPAI MIANG MEXICO


Ulam Raja

Walaupun baru-baru ini negara kecoh dengan bahaya rumpai miang mexico, namun ramai mempertikaikan persamaan tumbuhan beracun tersebut dengan ulam raja.

Tumbuhan ulam raja adalah tumbuhan liar dan menjadi tambahan hidangan kepada penggemar ulam yang biasanya dimakan mentah.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Jabatan Pertanian Kedah, Ramli Abdul Rahman berkata, masyarakat tidak perlu khuatir kerana rumpai miang mexico atau parthenium hysterophorus mempunyai tiga ciri berbeza dengan ulam raja.

Pertama dan paling mudah untuk membezakan ulam raja dan rumpai beracun itu adalah dari segi bau. Ulam raja mempunyai bau dan rumpai tersebut tidak.


Kedua, rumpai miang mexico mempunyai bulu halus di kesemua batang tumbuhan tersebut berbanding ulam raja.

Ketiga, Orang ramai juga boleh mengenali rumpai miang mexico tersebut melalui bunganya yang berwarna putih krim berbanding bunga ulam raja bewarna merah jambu.

Walaupun kedua-dua tumbuhan tersebut hidup secara meliar di kawasan belukar dan mudah didapati namun tiga perbezaan itu adalah cara mudah untuk mengenali rumput miang mexico tersebut.


Jadi kita tidak perlu khuatir kerana dari jauh kita sudah boleh bau dan melihat bentuk fizikal berbeza antara kedua tumbuhan ini walaupun seakan sama serta dapat mengelakkan alahan akibat rumpai miang mexico itu.

Tuesday, December 16, 2014

CINTA SEJATI SEORANG SENIMAN




Kisah cinta sejati Allahyarham Datuk Mustapha Maarof yang menyatakan pendiriannya untuk tidak berkahwin lagi demi cinta luhurnya terhadap arwah isterinya, Allahyarhamah Datin Roseyatimah atau nama sebenarnya Rosnah Jasni yang meninggal dunia pada 14 Disember 1987 telah menjadi kenyataan  semalam. Setelah 27 tahun isterinya meninggal, Datuk Mustapha Maarof, 79, menghembuskan nafas terakhirnya dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur, bersebelahan dengan pusara isterinya.

Di tanah perkuburan itu juga tempat bersemadinya jenazah sahabat baik beliau antaranya Seniman Agung Negara, Allahyahram Tan Sri P. Ramlee, Biduanita Negara, Puan Sri Saloma Ismail, Aman Ramli Jaafar (AR Tompel) dan sahabat karibnya yang juga wartawan terkenal, Allahyarham Aimi Jar.

Dilahirkan pada 1 Januari 1935, beliau dianggap hero legenda Malaya kerana terkenal dengan lakonannya menerusi beberapa buah filem Melayu klasik seperti Bawang Putih Bawang Merah, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Naga Tasik Chini, Yatim Mustapha, Hang Tuah, Seri Mersing dan puluhan karya lain. Saya juga amat meminati lakonannya terutamanya ketika beliau berlakon sebagai putera raja di dalam cerita Bawang Putih Bawang Merah.

Pertama kali beliau menjejakkan kali di Cathay Keris Film yang terletak di Singapura pada awal 1955, kerjaya seninya bermula selaku pelakon tambahan dengan membintangi filem Pendekar Bujang Lapuk yang diterajui tiga sekawan, P. Ramlee, Allahyarham Datuk Aziz Satar dan Allahyarham S. Shamsuddin.

Kemudian, rentetan perjalanan seninya semakin cemerlang tatkala menjadi pelakon pembantu dalam filem Hang Tuah, sekali gus mencipta populariti tersendiri di persada filem Melayu ketika era itu.

Kariernya terus berkembang maju apabila beliau diberi kepercayaan mendukung watak utama beberapa filem Melayu seperti mana yang disebutkan di atas, lalu menjadikannya antara pelakon lelaki Malaya yang disegani sebaris dengan rakan seperjuangannya.

Malah, kekacakannya menjadi pujaan wanita Malaya dan secara tidak langsung menambahkan lagi kemasyhuran dan kegemilangannya.Kacak, segak dan bercakap dengan penuh tertib, itu imej peribadi yang tersimpan kemas dalam sanubari setiap yang mengenali insan berhemah tinggi ini. Jarang sekali dia berbicara tentang hal-hal negatif, jauh sekali melemahkan semangat manusia lain.

Dalam bicara, dia banyak merangsang minda sesiapa jua lawan bicaranya supaya sentiasa mengingati Allah dan berpegang teguh kepada prinsip ‘ buat jahat jangan sekali.’

Merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur, pemilik nama sebenar Mustapha Azahari Maarof itu mengakhiri karier lakonannya menerusi dua buah filem epik iaitu 1957 Hati Malaya (2007) dan Lembing Awang Pulang Ke Dayang pada (2009).
Ketika hayatnya, beliau pernah menerima beberapa pengiktirafan termasuklah Anugerah Veteran dalam Festival Filem Malaysia ke-10 dan Anugerah Tokoh Perfileman Finas 2010.

Beliau merupakan waris kepada pengasas Bank Kebangsaan Melayu, Maarof Zakaria yang telah menubuhkan institusi kewangan tersebut di Klang Street, Kuala Lumpur ketika era pra merdeka.

Arwah ayahnya itu merupakan seorang peguam yang berasal dari Seri Menanti, Negeri Sembilan dan pernah menjawat jawatan awam sebagai pegawai daerah di Perak serta merupakan tokoh perbankan Melayu terawal, kerajaan Malaysia telah mengabadikan namanya di sebatang jalan yang dikenali Jalan Maarof, di Bangsar.

Datuk Mustapha Maarof sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan bergantung sepenuhnya dengan alat bantuan pernafasan selepas dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sebelum dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera Tunku Mizan, Wangsa Maju.


Jenazah beliau telah selamat dikebumikan selepas Zuhur dengan dihadiri ramai penggiat seni tempatan. Beliau meninggalkan tiga anak berserta menantu dan tujuh orang cucu. Al-Fatihah.

Monday, December 15, 2014

KETENANGAN ITU TIADA DIMANA - MANA TETAPI ADA DI DALAM HATI




Apabila kita melihat pemandangan-pemandangan yang indah dan damai tentu hati kita berdetik; alangkah bahagianya kalau dapat pergi atau tinggal di tempat-tempat tersebut. Di situlah ketenangan dapat diperolehi, di situlah kebahagiaan dapat dikecapi. Paling tidak pun, itulah yang lazim dirasakan oleh sebahagian besar manusia.

Maka menujulah manusia ke pantai-pantai yang permai mencari apa yang mereka namakan sebagai ketenangan. Menjelajahlah manusia ke hutan rimba, ke dataran hijau dan ke bukit serta gunung yang tinggi demi mendapatkan ketenangan yang mereka cari.


Begitulah hakikat fitrah kemanusiaan yang memerlukan hiburan ketenangan, setelah hidup mereka dipenuhi dengan seribu macam kesibukan. Tapi benarkah wujud ketenangan di tempat-tempat yang dikejarkan oleh mereka ini? Di situkah wujud kebahagiaan yang mereka dambakan saban waktu?

Kalau benarlah ketenangan itu berada di tempat-tempat yang indah dan permai, kenapa ada juga manusia yang memiliki ketenangan yang paling hakiki, walaupun kehidupannya hanya dikelilingi lautan pasir dan dipayungi terik mentari?

Siapakah manusia yang paling tenang hatinya kalau bukan Nabi Muhammad s.a.w.? Dan bukankah hayat baginda hanya berlegar di padang pasir. Tidak pernah baginda menyelam ke dasar lautan Pasifik melihat keindahan hidupannya. Tidak pernah baginda menjelajah hingga ke Eropah atau Asia Tengah; bumi yang penuh dengan flora dan fauna yang kita idam-idamkan peluang untuk ke sana.

Dalam keadaan hidup baginda yang di kelilingi padang pasir itu pun, ketenangan yang hakiki berjaya baginda dan para sahabat perolehi. Justeru, di manakah wujud ketenangan itu sebenarnya?

Kalau pun kita diberi peluang untuk ke tempat-tempat yang indah dan permai itu dan di sana kita merasai ketenangan yang kita harapkan, adakah berkekalan rasa tenang itu apabila kita meninggalkan tempat tersebut? Lazimnya tidak. Bahkan kalau memang kita ditakdirkan bermastautin di tempat itu, pastikah ketenangan itu akan berterusan? Jawapannya juga tidak. Buktinya?

Cuba perhatikan, sejak lahir, kita hidup di bumi Malaysia, yang akhirnya kita merasa bosan dengan suasana flora dan fauna negara sendiri, padahal ribuan pelancong dari tempat-tempat yang menjadi idaman kita itu memuji-muji keindahan negara ini. Mengapa mereka ke sini pula, padahal tempat merekalah yang kita rasakan lebih indah dan permai suasananya?

Fikirkan. Kenapa mereka mencari ketenangan di sini, sedangkan kita pula merasakan ketenangan itu berada di tempat mereka sendiri? Cuba halusi kembali. Di manakah sebenarnya ketenangan yang dicari-cari?

Ramai yang menyangka bahawa dengan berada di tempat-tempat seperti itulah ketenangan dapat diperolehi dan kebahagiaan dapat dikecapi. Namun hakikatnya ketenangan itu tidak wujud di mana-mana pun, tapi ia sebenarnya berada
di dalam hati. 



Walau di mana sekalipun kita berada, sebenarnya ketenangan itu sangat dekat dengan kita. Walau hidup kita di dalam gua yang tertutup tanpa cahaya atau hidup di kelilingi dengan hiruk pikuk kesibukan kotaraya, ketenangan itu tetap dapat kita perolehi. Kerana syarat untuk tenang itu bukannya ke pantai, ke bukit atau ke hutan. Tapi syarat ketenangan itu ialah mengingati Tuhan.

Maksud firman Allah;Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itulah hati akan tenang.” (Surah Al-Ra'd 38)

Itulah rahsia ketenangan. Pintunya di hati. Dan kuncinya mengingati. Dan yang diingat itu ialah Tuhan Yang Maha Suci.

Lihatlah apa sahaja di depan matamu dan kalau yang dilihat itu diperhati dan yang diperhati itu dihayati dan yang dihayati itu difahami akan hakikatnya, kemudian segalanya dapat membawa hati mengingati Allah, maka akan lahirlah ketenangan.

Melihat manusia yang berbagai rupa bangsa, kemudian mengkagumi kebijaksanaan Tuhan, maka hati akan tenang. Melihat kenderaan lalu-lalang, kemudian memuji kehebatan Tuhan atas ilmu yang Dia ilhamkan pada manusia untuk mencipta kenderaan itu, maka hati akan tenang.

Melihat kemusnahan dan pencemaran kotaraya, kemudian menginsafi ketentuan Tuhan terhadap kehancuran dunia (kiamat), maka hati akan tenang. Melihat manusia dengan segala macam ragam; ada yang kuat ibadatnya dan ada yang hebat maksiatnya, kemudian menangisi dan memohon keuzuran dari Tuhan atas kesilapan diri sendiri, maka hati akan tenang.

Begitulah yang disuruh oleh Tuhan. AlamNya terbentang luas bukan untuk dipandang, tapi diperhati. Bukan untuk dilihat, tapi dihayati. Bukan untuk direbut, tapi dimanfaati. Maksud firman Allah;

Sesungguhnya pada penciptaan langit-langit dan bumi, dan silih pergantian malam dan siang, terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang berakal.” (Surah Ali Imran 190)

Itulah tujuan alam dicipta. Tuhan lahirkan kita merata di seluruh dunia. Biarlah di mana pun kita berada. Kalau pun tempat kita ditakdirkan lahir itu adalah tempat yang dipenuhi dengan kehancuran akibat peperangan atau malapetaka alam, ketahuilah! Tuhan itu tetap adil.

Dia tidak menetapkan syarat ketenangan itu mesti berada di tempat yang indah permai, tapi yang Dia telah tentukan ialah; untuk tenang itu, hati mesti mengingati DiriNya. Itulah syarat ketenangan yang menjadi impian setiap insan. Yang pasti, tiada siapa yang hanya mahu ketenangan yang bersifat sementara. Justeru, ingatlah Tuhan, dan selama mana ini dilakukan, insyaAllah hati akan tenang. 

Coretan ini adalah untuk ingatan diri sendiri dan tatapan semua pembaca.


RAHSIA RUMAHTANGGA BAHAGIA






KAWAL KEMARAHAN
Kemarahan akan wujud apabila berlakunya ketidakpuasan hati. Apabila ada saja perkara yang tidak kena berlaku, manusia akan mudah meluahkan rasa amarah tanpa memikirkan kesan. Kemarahan merupakan satu kecenderungan manusia tetapi jika anda tahu punca kemarahan, anda perlu tahu mengawalnya. Sila mendiamkan diri jika pasangan sedang marah. Bayangkan jika masing-masing tidak mahu mengalah, mana mungkin ada jalan penyelesaian. Perselisihan faham adalah perkara biasa buat suami isteri tetapi janganlah keterlaluan. Tidak ada pasang surut di alam rumahtangga pun bosan juga.

HATI-HATI PERBUALAN
Elak sama-sama marah. Apabila salah seorang dari anda mengalah, situasi tegang dapat dikawal dengan baik. Sebaliknya jika anda mula menengking pasangan anda, ia akan menjadi topik yang lebih besar kerana jiran-jiran akan mula masuk campur kerana terdengar pergaduhan anda. Isteri perlu mendengar nasihat suami. Sebagai ketua keluarga, suami tahu peranannya untuk menjaga nama baik keluarga. Jika anda menjawab dan mempertingkaikan nasihatnya, perbualan yang baik akan bertukar menjadi satu pergaduhan.

KRITIKAN MEMBINA
Meninggikan nada suara tidak akan membantu menjernihkan keadaan. Beberapa ayat yang kurang baik akan kedengaran. Jika anda mahu mengkritik, kritiklah dengan penuh kasih sayang. Usah tersilap kritik kerana akibatnya pasangan anda akan terasa hati  dan menyimpan dendam buat anda. Cara mengkritik yang sesuai untuk suami isteri adalah dengan merendahkan nada, menatap mata pasangan, meletakkan tangan anda di bahu pasangan dan menghormati pendapat pasangan anda.

BERTOLAK-ANSUR
Anda sedar bahawa dunia hari ini berputar dengan pantas. Harga keperluan semakin mahal dan adakalanya membebankan anda sekeluarga. Usah memikirkan hanya anda sahaja yang keluar mencari rezeki. Meskipun pendapatan anda tidaklah sebanyak seperti orang lain, anda sepatutnya bertolak ansur dan tidak membiarkan beban digalas oleh salah seorang saja. Kedua-duanya perlu memainkan peranan. Hubungan suami isteri lebih indah apabila kedua-duanya sama-sama hidup susah dan senang. Ini bukan masanya untuk mengatakan duit anda adalah milik persendirian. Kongsilah bersama pasangan dan anak-anak anda.

BERI KEPUJIAN
Sambut, peluk dan cium pasangan anda biarpun dia baru balik dari kerja dalam keadaan yang berbau masam! Ramai suami isteri menganggap tidak perlu memuji dengan alasan sudah duduk serumah. Walhal, kesilapan kecil bermula apabila tidak ada sesi memuji antara pasangan. Sesekali memuji pakaian, solekan dan masakannya yang lazat boleh memberi satu perasaan untuk bermanja. Memberi kepujian bermaksud anda masih menghargainya kerana kehadirannya di dalam hidup anda selama ini. Tanpa pasangan anda, anda tidak mungkin mempunyai anak-anak yang comel.

Kadang-kadang, manusia lupa bahawa perkara kecil boleh membawa kepada masalah yang lebih besar di dalam hidup. Apabila masalah menjadi besar, lama-kelamaan hilang perasaan sayang di dalam diri. Kebencian yang tersimpan menyebabkan anda mula hilang hormat sehingga berlaku perkara yang tidak masuk akal.. JADI... Tunggu apa lagi? Hubungi pasangan anda dan ucapkan ungkapan cinta penuh romantis supaya hari ini menjadi hari istimewa buatnya.