Diriwayatkan daripada
Sahl bin Saad r.a katanya: Nabi Muhammad SAW telah bersabda : "Aku dan
orang yang memelihara anak yatim adalah di dalam syurga seperti ini - sambil
Baginda menunjuk dengan kedua-dua jarinya - jari telunjuk dan jari tengah (yang
dirapatkannya, sebagai isyarat rapatnya mereka dan duduk bersama-sama Nabi di
dalam syurga). (Hadis Riwayat Bukhari)
Anak yatim merupakan
duta kecil Nabi. Mendekati mereka bermakna mendekati Baginda. Banyak hadis yang
menceritakan kelebihan orang yang menjaga dan berbuat baik kepada anak yatim.
Sayang sekali kalau kita tidak teruja dengan tawaran eksklusif ini. Islam sangat
mengambil berat perihal anak yatim. Jika disemak dalam al-Quran, Allah
menjelaskan berkenaan anak-anak yatim di pelbagai tempat.
Siapakah anak yatim?
Anak yatim merujuk
kepada anak-anak yang kematian bapa. Bahkan ada yang berpendapat ibu, atau jika
kematian salah seorang daripada ibu atau bapa. Tetapi pendapat yang lebih kuat
ialah anak yang kematian bapa. Mengapa bapa? Kerana bapa diibaratkan tangan yang
akan membawa pulang makan-minum dan sebagainya untuk keluarga. Justeru
kehilangan bapa akan memberi kesan kepada perkembangan anak-anak tersebut baik
dari sudut mental, fizikal, keyakinan diri dan kewangan.
Berkaitan usia
anak-anak yang dikatakan anak yatim, Saiyidina Ali berpendapat umur anak yatim
ialah sebelum umur baligh. Hal ini bermaksud setelah baligh dia tidak lagi
dikira sebagai anak yatim. Manakala menurut Imam Hanafi, usia anak yatim ialah
anak-anak yang berada di bawah umur 18 tahun.
Sikap berbuat baik
Allah Taala menyebut
di dalam Surah ad-Duha ayat 9-10 : "Pada anak yatim itu ada penawar yang
menyembuhkan. Pada anak yatim itu juga ada racun yang sangat menyakitkan.
Sekiranya hatimu tega dan rela dengan kesusahan mereka ertinya kau lupa dengan
pesan Allah ini. Maka terhadap anak yatim janganlah engkau berkasar, dan
terhadap pengemis janganlah kau herdik."
Mereka ini mempunyai
hak untuk ditunaikan seperti mana yang disebut dalam ayat di atas, berbuat baik
kepada mereka adalah perkara yang paling terpuji, dan menyakiti mereka adalah
perkara yang paling dikeji. Rasulullah SAW bersabda : "Sesiapa yang
menanggung makan minum seorang anak yatim Muslim sehingga cukup keperluannya,
maka wajib baginya syurga." (Riwayat al-Tabarani)
Rasulullah sangat menyayangi
anak yatim, perasaan ini semuanya datang daripada hati Baginda yang penuh
dengan cinta. Baginda pernah mengalaminya, kerana itu baginda dapat
menghayatinya. Semasa Perang Muktah walaupun dimenangi oleh umat Islam namun
turut menyaksikan kehilangan ramai sahabat Nabi. Antaranya Zaid bin Harithah,
diikuti Jaafar bin Abu Talib, sepupu rapat Baginda dan diakhiri dengan Abdullah
bin Rawahah.
Pemergian Jaafar amat
dirasai, beliau meninggalkan isteri dan dua orang anak kecil yang sedang
membesar. Maka Rasulullah mengambil berat urusan mereka. Rasulullah pernah
menjadi pengasuh anak yatim.
Daripada kisah ini
kita boleh meneladani dan melihat betapa mulianya hati seorang Nabi junjungan
mulia, mengajar kita erti cinta kepada anak yatim yang kehilangan tempat
bergantung, bahkan mengambil tempat sebagai bapa angkat kepada mereka.
Belajar dengan Rasulullah
Kita semua harus
belajar daripada kisah yatim Rasulullah. Tentang erti kesabaran, kegigihan,
keberanian dan kejujuran yang menjadikan Baginda seorang peniaga yang berjaya,
hakim yang jujur dan bijaksana, pendakwah yang penuh hikmah dan tidak pernah
mengalah, jeneral perang yang penuh strategi dan berani, ahli ibadah yang taat
dan sering menangis, orator yang bicaranya memukau dan mempengaruhi telinga
yang mendengar, pemimpin yang adil dan penuh kasih sayang, dan seorang Nabi dan
Rasul yang sangat dicintai dan mulia.
Baginda merupakan
idola si yatim yang hebat. Yatim bukanlah alasan untuk merasa malas, hina dan
terasing. Sebaliknya harus menjadi pencetus motivasi untuk meraih kehidupan
yang lebih baik dengan sifat jujur, amanah, rajin, gigih mencari ilmu dan iman
demi kejayaan dunia dan akhirat.
Yatim hakiki adalah
apabila miskin akhlak dan budi, sering tidak bersyukur akan kurniaan Allah.
Sekiranya kita mengabaikan anak yatim, diri kita inilah yang yatim sebenarnya.
Orang yang intim dan menjaga anak yatim akan intim dengan Rasulullah, bahkan
akan intim dengan Allah.
No comments:
Post a Comment