Minggu ini adalah kemuncak ibadah
haji apabila jemaah yang dianggarkan tiga juta orang dari seluruh dunia akan
bergerak ke Arafah. Wukuf di Arafah adalah rukun haji yang kedua tetapi yang
utama dari rukun-rukun haji itu. Haji itu adalah Arafah. Pada ketika ini, kita
mengharapkan jemaah seluruh dunia khususnya dari Malaysia dalam keadaan sihat
serta bersiap sedia untuk ke Arafah, sebuah kawasan yang terletak di luar tanah
haram, kira-kira 21 kilometer dari kota suci Makkah. Setelah berihram (bagi
mengerjakan haji Tamattuk), pada 8 atau 9 Zulhijah, jemaah akan berangkat ke
Arafah. Masa yang wajib berada atau berwukuf di Arafah ialah pada awal waktu
Zuhur 9 Zulhijah hingga sebelum fajar pada hari Nahar, iaitu 10 Zulhijah. Masa
yang sebaik-baiknya ialah sebahagian hari kesembilan dan sebahagian malam
kesepuluh.
Banyak kelebihan pada Hari Arafah. Di
sini digalakkan kita membaca al-Quran, berwirid, berzikir, solat sunat dan
berdoa. Inilah hari pertemuan dan perjumpaan besar antara hamba yang merdeka
dan Tuhannya yang Maha Menerima Taubat lagi Maha Mengasihani. Hari Arafah
adalah hari kemuliaan, hari disempurnakan agama-Nya, hari bulan suci, hari
beramal soleh, hari pembebasan dan hari permohonan doa. Hari Wukuf menguji daya
tahan jemaah sama ada mental, fizikal atau spritual. Suasana yang panas terik
membayangkan perhimpunan yang lebih besar, lebih panas dan lebih padat iaitu
perhimpunan di Padang Mahsyar. Perjalanan kemudiannya diteruskan ke Muzdalifah
dan berada di sana untuk seketika serta mengutip batu-batu kecil bagi tujuan
melontar jamrah sebelum meneruskan perjalanan ke Mina. Jemaah akan tinggal
lebih lama di Mina bagi melontar ketiga-tiga jamrah iaitu Jamratul Ula,
Jamratul Wusta dan Jamratul Aqabah pada 11, 12 dan 13 Zulhijah.
Bagi kita di Malaysia yang tidak
berpeluang ke sana pada kali ini, sama-samalah kita menghayati ‘roh haji’
supaya turut sama mendapat ganjaran dan rahmat-Nya. Kita digalakkan berpuasa
pada hari-hari yang ditetapkan dan melakukan ibadah korban dengan menyembelih
haiwan ternakan seperti kambing, biri-biri atau lembu.
Elok juga menjelang 10 Zulhijah ini
kita menyelak semula khutbah terakhir Rasulullah SAW. Semoga ianya menjadi
panduan.
Antara inti pati khutbah itu ialah:
Wahai manusia, seperti mana kamu
menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta
setiap orang Muslim sebagai amanah suci.
Kembalikan harta yang diamanahkan
kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapa pun
agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi.
Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu
akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan
kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan
riba dibatalkan.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi
keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam
perkara-perkara besar. Maka berjaga- jagalah supaya kamu tidak mengikutinya
dalam perkara-perkara kecil.
Wahai manusia, dengarlah
bersunggah-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima
kali sehari, berpuasalah pada bulan Ramadan, dan tunaikanlah zakat dari harta
kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu.
Ketahuilah bahawa setiap Muslim
adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang
pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam takwa dan beramal soleh.
Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap
Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah
kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari
landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Sesungguhnya aku tinggalkan kepada
kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti
kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah al-Quran
dan Sunnahku.
Semoga keluarga, jiran dan sahabat
kita yang sedang mengerjakan haji dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna
serta mendapat ganjaran haji mabrur.
No comments:
Post a Comment