Assalamualaikum dan
salam sejahtera semua…
Sebenarnya harini hati
saya sedang gundah.. gundah memikirkan anak yang tidak sihat dirumah.. Sungguh
mahalnya harga ketenangan jiwa. Disini saya kongsikan tips dan panduan untuk
saya dan pembaca semua tentang tips untuk merawat hati yang gundah..
1. Solat
Solat adalah suatu
terapi yang baik buat manusia. Sesuatu yang baik tidak terhasil dengan
perlaksanaan yang sambil lewa. Kebaikan berbuah daripada kesungguhan dan
keikhlasan. Lakukanlah solat wajib tanpa melupakan yang amalan yang sunat
sebagai ibadah sampingan. Intipati di dalam ibadah solat sebenarnya sudah
mencukupi untuk mengubati perasaan dukacita, resah gelisah dan sebagainya. Hal
ini kerana, bacaan dan doa yang terdapat didalamnya sekiranya dihayati,
amat-amat menginsafkan diri.
Perlu diingat, bahawa
resah gelisah boleh jadi datang daripada dosa kita. Apabila solat kita mampu
menginsafkan diri, maka, InsyaAllah, ketenangan pasti hadir. Kebahagiaan pasti
berbunga dan kehidupan pasti lagi indah dan mudah.
Lakukanlah qiyamulail
dengan melaksanakan solat taubat, tahajjud dan ibadah-ibadah lain.
Rasulullah s.a.w pernah
bersabda di dalam hadis sahih, antara lain maksudnya ialah,bahawasanya, sekiranya seseorang hamba
bangun malam, lalu mengingati Allah (samada lisan atau hati), kemudian
berwudhuk dan melakukan solat, dengan izin Allah, ia akan menjadi bersemangat
dan bersih jiwanya. Kebersihan jiwa mampu menghilangkan gundah di dalam dada.
InsyaAllah.
2. Membaca &
Tadabbur Al Quran
…sesungguhnya telah
datang kepadamu sebuah pelajaran daripada tuhanmu dan penyembuh bagi
penyakit-penyakit (yang berada) di dalam dada… (Yunus : 57)
Al quran mengandungi
hikmah. Itulah antara kata-kata hikmah yang dipetik daripada Al quran. Ya,
terlalu banyak hikmah yang terdapat di dalamnya. Namun jika hanya pembacaan sahaja,
tanpa dihayati isinya, maka tidaklah dapat kita merasai kemanisan kalamullah
tersebut. Untuk menghayatinya, sebagai golongan yang tidak memahami bahasa
Arab, kita hendaklah membaca Al Quran bersama-sama terjemahannya.
(Al-Quran ini) sebuah
Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), Kitab yang
mempunyai banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan
teliti kandungan ayat-ayat-Nya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna
sebagai peringatan dan iktibar. (Shaad: 29)
Tadabbur Al Quran.
Bagaimana? iaitu dengan menghayati isi kandungan sehingga mampu mengalirkan
airmata. Berikut ialah contoh-contohnya :
Ketika membaca ayat-ayat
mengenai azab Allah :
Rasakan diri kitalah
yang dimaksudkan oleh Allah Taala. Kitalah yang diazab, kitalah yang termasuk
golongan-golongan yang berdosa. Sekiranya, terdapat ayat mengatakan putus
asanya orang-orang yang berdosa pada hari Qiamat, maka, bayangkanlah kita
sedang berputus asa sehingga melahirkan keinsafan.
Ketika membaca ayat-ayat
mengenai nikmat :
Rasakan bahawa kita
tidak layak untuk menerima semua nikmat yang tersebut kemudian berdoa agar
Allah menyelamatkan kita daripada azab-azabnya.
3. Perbanyakkan
berzikir.
Mengingati Allah
mendekatkan kita dengan Dia pemilik segala cinta. Ketenangan seseorang hamba
hadir ketika ia dekat dengan tuhannya. Hal ini kerana ketenangan wujud lantaran
kestabilan hati dan perasaan aman dan tenteram. Dr Sheikh ‘Aidh Bin Abdullah Al
Qarni menulis di dalam kitabnya mengajak kita mengingati Allah :
Berzikir kepada Allah
adalah syurga Allah di bumi-Nya. Maka sesiapa yang tidak pernah memasukinya, ia
tidak akan dapat memasuki syurganya di akhirat kelak. Berzikir kepada Allah
merupakan penyelamat jiwa daripada pelbagai kerisauan dan kegundahan, kekesalan
dan goncangan, dan zikir merupakan jalan yang paling mudah untuk meraih
kemenangan dan kebahagiaan yang haqiqi.
4. Redha.
Sabda Rasulullah S.A.W :
Terimalah dengan
keredhaan dengan apa yang telah Allah berikan kepadamu, nescaya kamu menjadi
manusia paling kaya. (Al Hadith)
Belajarlah untuk redha
terhadap ketentuan Allah. Belajarlah untuk redha sekalipun sekecil-kecil
musibah atau nikmat yang dikurniakan Allah terhadap kita. Ingatlah bahawa,
Kesusahan, keperitan hidup, dan musibah itu sememangnya pahit kerana syurga itu
manis. Allah Swt bersabda :
… sebab itu berpegang
teguhlah kepada apa yang aku berikan kepadamu dan hendaklah kamu termasuk
orang-orang yang bersyukur.(Al A’raf : 144)
No comments:
Post a Comment