Jom Klik Iklan

Tuesday, October 20, 2015

DEMAM KEPIALU MELANDA KUALA LUMPUR

Jumlah kes demam kepialu di bandar raya Kuala Lumpur meningkat kepada 32 kes sejak Ogos lepas, dan orang ramai dinasihatkan memberi perhatian serius terhadap kebersihan makanan dan minuman yang diambil bagi mengelak jangkitan.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah tertinggi kes demam itu dikesan di Titiwangsa sebanyak 16 kes, Kepong (lapan), Lembah Pantai dan Cheras (masing-masing empat kes).
"Namun begitu tiada kematian dilaporkan," katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPKL) sedang menjalankan penyiasatan epidemiologi di lapangan bagi mengetahui punca jangkitan yang menyebabkan kejadian demam kepialu berlaku.

JKWPKL juga membuka bilik gerakan bagi menyelaras aktiviti penyiasatan dan kawalan demam itu yang disebabkan oleh bakteria Salmonella typhii yang mencemari makanan atau minuman, dan seseorang yang dijangkiti akan mengalami gejala antara satu hingga tiga minggu selepas mengambil makanan atau minuman tercemar.
Dr Noor Hisham berkata JKWPKL menerima notifikasi mengenai tujuh kes demam kepialu membabitkan buruh binaan yang tinggal di Cheras dikesan pada minggu pertama Ogos lepas, dan dua daripada sepuluh kontak yang diperiksa turut didapati positif ujian dan telah diberikan rawatan.
Sehingga kini, sejumlah 37 orang kontak terdiri daripada anggota keluarga, rakan sekerja dan pengendali makanan telah disaring, dan 24 premis makanan diperiksa, katanya.
Selain sejumlah 79 sampel najis dan empat sampel bekalan air minum diambil bagi mengesan kehadiran bakteria Salmonella typhii ini, dan setakat ini belum ada sample yang dilaporkan positif, katanya.
"Pemeriksaan juga dijalankan di kilang-kilang pembekal ais, di samping pemantauan dan kawalan melibatkan sistem pembekalan air dijalankan bagi memastikan kualiti bekalan air di Kuala Lumpur baik," katanya.
Dr Noor Hisham berkata gejala utama yang direkodkan selepas dijangkiti demam ini adalah keletihan, demam, sakit perut, sembelit dan sakit kepala, dan pesakit juga boleh mengalami cirit-birit dan muntah.
"Jika tidak dirawat, gejala tersebut boleh berterusan sehingga beberapa minggu dan menyebabkan komplikasi seperti perdarahan dan kebocoran saluran penghadaman, keradangan otak dan psikosis," katanya.
Dr Noor Hisham berkata mereka juga boleh menjadi pembawa bakteria ini tanpa menunjukkan sebarang gejala dan pembawa boleh menyebarkan bakteria itu melalui pengendalian makanan atau minuman.
Deman kepialu masih berlaku di beberapa kawasan di negara ini yang mempunyai liputan bekalan air minum terawat dan penggunaan tandas sanitari yang rendah serta kebersihan persekitaran dan personal yang terabai.
"Jangkitan itu juga disumbang oleh pengendalian makanan yang tidak mengikut tatacara yang selamat dan sihat," katanya.
Dr Noor Hisham berkata Kuala Lumpur merupakan negeri yang sentiasa mencatat kes demam kepialu yang rendah setiap tahun dan kejadian ini bukanlah keadaan luar biasa dengan bilangan kes semenjak lima tahun lepas adalah antara tujuh hingga 35 kes setahun.
Orang ramai dinasihatkan memilih gerai dan kedai makan yang bersih termasuk pengendali makanan yang bersih serta menjadikan makanan yang panas dan baru dimasak sebagai pilihan utama.
"Kebersihan diri juga perlu diutamakan khususnya membasuh tangan sebelum makan, selepas makan dan selepas ke tandas," katanya.
- Bernama

No comments: