Thursday, October 22, 2015

HAK, TANGGUNGJAWAB DAN IHSAN RESEPI HIDUP BAHAGIA


Selamat pagi semua.. Pagi ini saya tertarik untuk berkongsi dengan pembaca semua berkenaan Hak, Tanggungjawab dan Ihsan Resepi Hidup Bahagia…

Dalam kehidupan ini ada beberapa perkara yang mesti difahami dengan betul supaya ia tidak mengeruhkan keharmonian. Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin membicarakan isu hak, tanggungjawab dan ihsan dalam rancangan Pesona D'Zahra yang bersiaran setiap Isnin, jam 10.15 pagi di radio IKIMfm.

Hak perkara yang perlu diperoleh. Contohnya, hak bagi seorang isteri terhadap suaminya adalah nafkah zahir dan batin. Ini termasuk tempat tinggal, makanan dan minuman, pakaian, perasaan dan lain-lain. Begitu juga hak yang sepatutnya diperoleh oleh anak dari segi pendidikan, perbelanjaan harian di sekolah dan sebagainya.

Antara yang sering diabaikan ialah hak anak untuk mendapatkan ibu yang salihah, nama yang baik dan mengajarnya dengan al-Quran. Pernah seorang lelaki datang menemui Khalifah Umar al-Khattab mengadukan mengenai anaknya yang derhaka terhadapnya. Lalu Umar memanggil anak lelaki itu dan memarahinya kerana derhaka kepada bapanya. Anak itu menjawab: "Wahai Amirul Mukminin, tidakkah anak mempunyai hak ke atas bapanya?" Umar menjawab: "Ya." Anak itu bertanya lagi: "Apakah ia wahai Amirul Mukminin?" Jawab Umar: "Memilih ibunya, memberikan nama yang baik dan mengajarnya al-Kitab (al-Quran)." Anak itu lalu membalas: "Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya ayahku tidak pernah melakukan satu pun perkara kau nyatakan itu. Ibu saya seorang perempuan Majusi. Saya pula diberikan nama 'Ju'alan' iaitu sejenis kumbang hitam. Dia juga tidak pernah mengajarkan aku walau satu huruf pun daripada al-Quran." Umar lantas berkata kepada lelaki itu: "Kamu datang mengadu anakmu derhaka, walhal kamulah yang terlebih dulu derhaka terhadap anakmu." Begitulah, Saidina Umar meletakkan kesalahan kepada si bapa, lantaran kecuaiannya dalam mendidik anaknya sendiri. Ini adalah antara hak anak yang mesti ditunaikan oleh ibu bapa mereka.

Perkara kedua ialah disebut Tanggungjawab. Tanggungjawab bermaksud apa yang perlu diberi atau dilaksanakan. Hak isteri ialah diberi nafkah zahir dan batin oleh seorang suami, manakala tanggungjawab isteri pula ialah mentaati dan hormat kepada suami, menjaga maruah suami, memelihara dan membesarkan anak. Ada ketikanya, kita begitu kuat berjuang untuk mendapatkan hak kita, namun kita juga dalam masa yang sama tidak pun melaksanakan tanggungjawab kita.
Tanggungjawab adalah amanah yang akan dipersoalkan oleh Allah SWT di Padang Mahsyar kelak sama ada ditunaikan atau tidak. Ihsan dilaksana kerana sayang Perkara ketiga ialah disebut ihsan. Ihsan bukan tanggungjawab tetapi dilakukan lebih kerana perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Ia tidak akan dipersoalkan pada hari akhirat kelak jika tidak dilaksanakan sekalipun. Contoh antara perkara yang dikira ihsan ialah seperti membawa anak isteri bercuti dan melancong atau membelikan hadiah hari jadi dan sebagainya. Ia bukan tanggungjawab bapa atau hak anak dan isteri, tetapi lebih kepada ihsan bapa kepada keluarganya.

Kebiasaannya sering terjadi anak atau isteri menuntut perkara begini hanya kerana kawan mereka memilikinya sedangkan ia bukan hak mereka yang wajib ditunaikan oleh bapa atau suami. Jika dilaksanakan oleh bapa atau suami dengan niat menggembirakan keluarganya sudah pasti akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT.

Seterusnya, Ihsan terhadap pasangan, anak-anak dan keluarga. Jika perkara ihsan ini tidak dilaksanakan ia bukanlah suatu kesalahan. Jangan kita meletakkan perkara ihsan ini sebagai suatu yang wajib kerana ia pasti akan membebankan suami atau bapa. Begitu juga bagi isteri memasak, mengemas rumah dan membasuh baju. Ia bukan tanggungjawab mereka, tetapi dilakukan kerana ihsan.

Sentiasa berjiwa besar Walaupun ihsan itu sifatnya harus, namun ia amat digalakkan dilaksanakan bagi yang berkemampuan. Sebagai contoh mudah membezakan antara tanggungjawab dan ihsan ialah bandingan antara zakat dan sedekah. Zakat adalah tanggungjawab yang wajib ditunaikan oleh setiap orang Islam yang cukup syaratnya, namun sedekah perkara harus yang digalakkan kepada mereka yang ingin mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT.

Contoh lain dalam hal ihsan ialah seperti membantu adik-beradik yang kesusahan atau membantu saudara Islam yang miskin. Walaupun dari segi tanggungjawab ia bukan tanggungjawab kita membantu, namun bantuan seperti itu mencerminkan orang yang mempunyai ketakwaan yang tinggi.

Bagaimanapun di pihak yang menerima bantuan, jangan pula menganggap pertolongan daripada orang lain itu adalah hak dan tanggungjawab orang tersebut. Mereka perlu menjadi orang yang sentiasa bersyukur dan berpada (qanaah) serta tidak tamak.

Orang yang paling kaya ialah orang yang banyak bersyukur, demikian ujar Imam al-Ghazali.


Kesimpulannya, dalam hidup berumah tangga masing-masing hendaklah sentiasa berjiwa besar, berlapang dada dan saling bertoleransi antara satu sama lain. Jangan masing-masing bertegas menuntut hak, Apa yang lebih utama ialah tunaikan tanggungjawab dan memperbanyakkan buat kebaikan atau ihsan dan melepaskan sebahagian hak kita dan memaafkan kekurangan pasangan kita. Dengan cara ini pasti wujudkan keharmonian rumah tangga.

No comments:

JOM BACA SURAH AL-KAHFI PADA HARI JUMAAT..

SURAH AL - KAHFI Surat ini terdiri atas 110 ayat, termasuk golongan surat-surat Makkiyyah. Dinamai Al-Kahfi artinya Gua dan Ashhabul Ka...