Selamat pagi semua..
Pagi ini saya tertarik untuk berkongsi dengan pembaca semua berkenaan Hak,
Tanggungjawab dan Ihsan Resepi Hidup Bahagia…
Dalam kehidupan ini ada
beberapa perkara yang mesti difahami dengan betul supaya ia tidak mengeruhkan
keharmonian. Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin membicarakan isu hak,
tanggungjawab dan ihsan dalam rancangan Pesona D'Zahra yang bersiaran setiap
Isnin, jam 10.15 pagi di radio IKIMfm.
Hak perkara yang perlu diperoleh. Contohnya, hak bagi seorang isteri
terhadap suaminya adalah nafkah zahir dan batin. Ini termasuk tempat tinggal,
makanan dan minuman, pakaian, perasaan dan lain-lain. Begitu juga hak yang
sepatutnya diperoleh oleh anak dari segi pendidikan, perbelanjaan harian di
sekolah dan sebagainya.
Antara yang sering
diabaikan ialah hak anak untuk mendapatkan ibu yang salihah, nama yang baik dan
mengajarnya dengan al-Quran. Pernah seorang lelaki datang menemui Khalifah Umar
al-Khattab mengadukan mengenai anaknya yang derhaka terhadapnya. Lalu Umar
memanggil anak lelaki itu dan memarahinya kerana derhaka kepada bapanya. Anak
itu menjawab: "Wahai Amirul Mukminin, tidakkah anak mempunyai hak ke atas
bapanya?" Umar menjawab: "Ya." Anak itu bertanya lagi:
"Apakah ia wahai Amirul Mukminin?" Jawab Umar: "Memilih ibunya,
memberikan nama yang baik dan mengajarnya al-Kitab (al-Quran)." Anak itu
lalu membalas: "Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya ayahku tidak pernah
melakukan satu pun perkara kau nyatakan itu. Ibu saya seorang perempuan Majusi.
Saya pula diberikan nama 'Ju'alan' iaitu sejenis kumbang hitam. Dia juga tidak
pernah mengajarkan aku walau satu huruf pun daripada al-Quran." Umar
lantas berkata kepada lelaki itu: "Kamu datang mengadu anakmu derhaka,
walhal kamulah yang terlebih dulu derhaka terhadap anakmu." Begitulah,
Saidina Umar meletakkan kesalahan kepada si bapa, lantaran kecuaiannya dalam
mendidik anaknya sendiri. Ini adalah antara hak anak yang mesti ditunaikan oleh
ibu bapa mereka.
Perkara kedua ialah
disebut Tanggungjawab. Tanggungjawab
bermaksud apa yang perlu diberi atau dilaksanakan. Hak isteri ialah diberi
nafkah zahir dan batin oleh seorang suami, manakala tanggungjawab isteri pula
ialah mentaati dan hormat kepada suami, menjaga maruah suami, memelihara dan
membesarkan anak. Ada ketikanya, kita begitu kuat berjuang untuk mendapatkan
hak kita, namun kita juga dalam masa yang sama tidak pun melaksanakan
tanggungjawab kita.
Tanggungjawab adalah
amanah yang akan dipersoalkan oleh Allah SWT di Padang Mahsyar kelak sama ada
ditunaikan atau tidak. Ihsan dilaksana kerana sayang Perkara ketiga ialah
disebut ihsan. Ihsan bukan tanggungjawab tetapi dilakukan lebih kerana perasaan
kasih sayang dan belas kasihan. Ia tidak akan dipersoalkan pada hari akhirat
kelak jika tidak dilaksanakan sekalipun. Contoh antara perkara yang dikira
ihsan ialah seperti membawa anak isteri bercuti dan melancong atau membelikan
hadiah hari jadi dan sebagainya. Ia bukan tanggungjawab bapa atau hak anak dan
isteri, tetapi lebih kepada ihsan bapa kepada keluarganya.
Kebiasaannya sering
terjadi anak atau isteri menuntut perkara begini hanya kerana kawan mereka
memilikinya sedangkan ia bukan hak mereka yang wajib ditunaikan oleh bapa atau
suami. Jika dilaksanakan oleh bapa atau suami dengan niat menggembirakan
keluarganya sudah pasti akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT.
Seterusnya, Ihsan terhadap pasangan, anak-anak dan
keluarga. Jika perkara ihsan ini tidak dilaksanakan ia bukanlah suatu
kesalahan. Jangan kita meletakkan perkara ihsan ini sebagai suatu yang wajib
kerana ia pasti akan membebankan suami atau bapa. Begitu juga bagi isteri
memasak, mengemas rumah dan membasuh baju. Ia bukan tanggungjawab mereka,
tetapi dilakukan kerana ihsan.
Sentiasa berjiwa besar
Walaupun ihsan itu sifatnya harus, namun ia amat digalakkan dilaksanakan bagi
yang berkemampuan. Sebagai contoh mudah membezakan antara tanggungjawab dan
ihsan ialah bandingan antara zakat dan sedekah. Zakat adalah tanggungjawab yang
wajib ditunaikan oleh setiap orang Islam yang cukup syaratnya, namun sedekah
perkara harus yang digalakkan kepada mereka yang ingin mendapat ganjaran pahala
daripada Allah SWT.
Contoh lain dalam hal
ihsan ialah seperti membantu adik-beradik yang kesusahan atau membantu saudara
Islam yang miskin. Walaupun dari segi tanggungjawab ia bukan tanggungjawab kita
membantu, namun bantuan seperti itu mencerminkan orang yang mempunyai ketakwaan
yang tinggi.
Bagaimanapun di pihak
yang menerima bantuan, jangan pula menganggap pertolongan daripada orang lain
itu adalah hak dan tanggungjawab orang tersebut. Mereka perlu menjadi orang
yang sentiasa bersyukur dan berpada (qanaah) serta tidak tamak.
Orang yang paling kaya
ialah orang yang banyak bersyukur, demikian ujar Imam al-Ghazali.
Kesimpulannya, dalam
hidup berumah tangga masing-masing hendaklah sentiasa berjiwa besar, berlapang
dada dan saling bertoleransi antara satu sama lain. Jangan masing-masing
bertegas menuntut hak, Apa yang lebih
utama ialah tunaikan tanggungjawab dan memperbanyakkan buat kebaikan atau ihsan
dan melepaskan sebahagian hak kita dan memaafkan kekurangan pasangan kita.
Dengan cara ini pasti wujudkan keharmonian rumah tangga.