Sebenarnya hati masih bersedih dengan kehilangan nenek tersayang. Namun, cuba untuk terus kuat dan tabah menghadapi hari-hari mendatang. Cuba untuk muhasabah diri, kerana masa lampau adalah sesuatu yang telah pergi dari kita. Mungkin ia sesuatu yang manis begitu juga mungkin ia sesuatu yang pahit.
Namun ia tetap masa lampau kita. Ia telah pergi dan kita
kini berada pada waktu yang baru. Langkah kita kehadapan dan tidak mungkin kita
mampu melangkah ke masa lampau kita itu.
Namun tanpa sedar, masa lampau sering merantai diri kita
untuk melangkah jauh kehadapan. Merantai kaki kita untuk penuh yakin tanpa
sekali putus asa dengan apa yang menunggu di hadapan kita. Ringkasnya harapan
untuk masa hadapan kita.
Kita terlalu kerap memandang masa lampau kita. Sehingga
kita terbawa-bawa perasaan dan mengundang kesedihan yang tidak menentu.
Soalnya, wajarkah?
Sesuatu yang perlu kita sedari, terlalu memandang masa
lampau ini punya kesan yang mengongkong hidup kita. Kita mengharapkan ia
berulang. Kita merindui detik-detik tersebut. Sehingga kita lupa. Kita lupa
mencipta masa hadapan yang pada ketika ini ianya dalam tangan kita.
Yang telah berlalu, biarkan ia berlalu. Bukan tidak boleh
bersedih, ia pastinya boleh sebab itu sebahagian fitrah kita. Pun begitu
acapnya, kita terlupa mengusahakan
harapan yang sedang menanti kita di hadapan. Kita terbawa-bawa rasa sedih
sehingga kita tidak melakukan yang terbaik untuk masa hadapan yang sedang
menanti.
Masa lampau adalah pengalaman hidup yang sangat bermakna.
Yang baik, sudah pasti kita mahu ulangi dan kekalkan.
Yang sebaliknya, seharusnya kita lupakan dan jauhi hal tersebut.
Jika kita merindui seseorang di masa lampau kita dan kini
mereka telah tiada, terimalah hakikat tersebut. Jika ada rasa sayang, doakan
kebaikan buat insan-insan tersebut. Jika ada rasa yang menyakitkan maafkan dan
lupakan hal tersebut.
Masa hadapan adalah harapan. Peluang harapan itu tidak
seharusnya musnah dek kita terlalu memandang masa lampau.
Ingatlah harapan tersebut. Teruslah baiki segala aspek
kehidupan diri kita selagi umur kita masih ada. Yang berlalu biarkan ia berlalu
pergi. Usahakan kebaikan atas apa yang sedang kita miliki ini.
Semoga kebaikan itu bersama kita semua. Amin…
No comments:
Post a Comment