SAKIT TEKAK adalah simptom yang membabitkan kawasan sekitar tonsil dan farinks. Sakit tekak dikenali sebagai pharyngitis jika ia membabitkan bahagian farinks dan tonsillitis jika membabitkan kedua-dua bahagian tonsil. Apabila membabitkan kedua-dua bahagian farinks dan tonsil, ia dikenali sebagai pharyngotonsillitis. Sakit tekak berlaku apabila radang terjadi membabitkan membran mukus yang melapisi farinks atau tonsil. Ia mengakibatkan rasa tidak selesa, sakit atau gatal pada bahagian tekak. Kesakitan sewaktu menelan adalah simptom lain yang biasanya berlaku ketika sakit tekak.
Biasanya sakit tekak lebih teruk pada waktu pagi dan kesakitan berkurang keesokannya. Penyakit ini sangat mudah berlaku, terutama di kalangan kanak-kanak. Ia disebabkan jangkitan virus atau bakteria. Bakteria memberi tindak balas baik kepada rawatan antibiotik, manakala virus biasanya sembuh dengan sendiri dalam jangka masa tertentu. Sakit tekak biasanya disebarkan melalui perkongsian minuman, bercium, batuk, menghembus hidung dan bersin.
Punca Sakit Tekak Adalah :
1) Jangkitan bakteria – disebabkan oleh bakteria streptococcal. Ia membawa komplikasi demam reumatik yang boleh mencetuskan masalah injap jantung atau radang buah pinggang
2) Jangkitan virus – kebanyakan sakit tekak disebabkan jangkitan virus dan ada pelbagai jenis yang menyebabkan ia sembuh dengan sendiri dalam masa beberapa hari,bergantung pada jenis virus terbabit. Virus terkenal adalah Epstein-Barr, yang menyebabkan demam dan bengkak di kelenjar pada leher.
3) Kelenjar limfa membengkak di bawah rahang dan leher. Jika sakit tekak disebabkan virus Coxsackie, lepuh kecil boleh kelihatan pada tonsil dan lelangit lembut (soft palate).
4) Tonsilitis - ia adalah keradangan tonsil. Tonsilitis kronik berlaku apabila berlaku banyak kerosakan kepada tonsil. Dalam keadaan ini, tekak berasa sakit pada kebanyakan masa selain sering disertai nafas berbau. Demam di bahagian kelenjar pada leher juga boleh menyebabkan masalah sakit tekak.
Sakit tekak yang biasa kita dengar adalah tonsil. Bukan sahaja orang dewasa yang dapat penyakit ini malah kanak-kanak juga banyak yang mengalaminya. Tekak kita akan menjadi perit atau pedih jika menelan makanan/minum. Ini akan menyukarkan kehidupan kita seharian. Jika berlarutan, maka segeralah berjumpa doktor. Doktor akan memeriksa tonsil dan belakang kerongkong untuk melihat tanda jangkitan seperti kemerahan atau nanah.
Jika dibiarkan tanpa rawatan, tonsil yang bengkak boleh menghalang laluan udara dan menyukarkan pernafasan. Ini akan menyebabkan apnea tidur (kerap terjaga ketika tidur) dan beberapa masalah kesihatan lain. Malah, jika tidak rawat tonsilitis juga boleh mengakibatkan pengumpulan nanah di antara tonsil dan tisu lembut di sekelilingnya (lelangit lembut). Nanah ini boleh merebak memasuki salur darah, ke leher atau dada; bagaimanapun kes seperti ini jarang berlaku. Sesetengah jenis bakteria Streptokokal menyebabkan tonsilitis mengakibatkan keradangan buah pinggang (nefritis) atau demam reumatik iaitu keadaan serius yang memberi kesan buruk kepada jantung, sendi, sistem saraf dan kulit.
Antara gejala tonsilitis ialah :
- Tekak bengkak dan merah
- Ada tompokan putih pada tonsil
- Sakit tonsil
- Sukar atau sakit untuk menelan
- Sakit kepala
- Demam dan menggigil
- Nodus limfa (pada rahang dan tengkuk) membengkak
- Hilang suara
- Sakit perut
- Mulut berbau
No comments:
Post a Comment