Jom Klik Iklan

Monday, April 20, 2015

APA ITU POKOK HEMPEDU BUMI



Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Bertemu kita kembali. Kali ini saya ingin kongsikan kepada semua berkenaan Pokok Hempedu Bumi. Ada seorang officemate telah membawa pokok ini ke office untuk disedekahkan kepada sesiapa yang berminat. So, sayapun tak pernah tau tentang khasiat pokok ini. Rasanya tengok pun tak pernah. Huhuhu.. apalagi minta bantuan encik google untuk dapatkan maklumat lanjut la kan..huhu..
Ini adalah info untuk kita kongsikan bersama. Pokok Hempedu Bumi atau nama saintifiknya Andrographis juga sinonim dengan nama Justicia latebrosa merupakan sejenis tumbuhan herba berubat. Ianya terkenal di kalangan pengamal perubatan tradisional China, Ayurvedic dan Yunani.
Hempedu Bumi dipanggil juga sebagai akar cerita, hempedu tanah, bidara (Melayu), mompoit (Sabah), sambiloto (Indonesia), kalmegh (India), nilavempu (Tamil) chuan xin lian (China) dan King of the bitter (Inggeris).
Pokok Hempedu Bumi merupakan tumbuhan semusim yang tumbuh menegak dan renek sesuai ditanam sepanjang tahun pada semua jenis tanah (bris, liat dan gambut) dengan jangka masa tanaman 8 hingga 10 minggu. Walaubagaimanapun, tanaman ini memerlukan kawasan bersaliran baik.
Hempedu Bumi mempunyai nilai perubatan yang tinggi. Penduduk Asia menggunakan herba ini untuk merawat masalah berkaitan penghadaman, pernafasan, demam, batuk dan penyakit berjangkit.
Di kalangan masyarakat Melayu, air rebusan tumbuhan ini digunakan untuk merawat demam, darah tinggi, cirit birit, luka, ulser, gigitan serangga dan menghapuskan cacing dalam sistem pencernaan.
Daun Hempedu Bumi ini boleh dijadikan ubat untuk menurunkan darah tinggi disamping merawat penyakit kencing manis. Cara menjadikannya ubat ialah dengan hanya merebus daun tersebut dan airnya diambil untuk diminum. Air rebusan yang pahit ini dipercayai mengandungi bahan kimia tumbuhan yang boleh memecahkan molekul lemak yang ada di sekeliling salur darah yang tersumbat.
Daun Hempedu Bumi ini juga boleh merawat luka dengan cara menumbuk lumat daun tersebut dan meletakkannya pada luka terutamanya pada luka gigitan ular dan sengatan serangga
Hasil kajian ke atas tumbuhan ini menunjukkan ianya mengandungi banyak bahan-bahan kimia dari kumpulan diterpenoids lactone dengan kadar antara 65 hingga 70 peratus contohnya angrographolide dan neoangrographolide. Bahan kimia ini mungkin penyumbang besar dalam mengawal dan merawat penyakit-penyakit yang telah dinyatakan di atas.
Terdapat kajian-kajian bukan klinikal dan klinikal telah dilakukan ke atas haiwan dan manusia dengan menggunakan serbuk dan pati (ekstrak) A. paniculata. Kajian-kajian ini telah membuktikan bahawa Hempedu Bumi boleh membantu dalam merawat penyakit malaria (antimalarial), masalah darah beku (antithrombotic), diabetis, kanser dan darah tinggi.
Namun, berdasarkan maklumat yang diperolehi dari Monograf Hempedu Bumi, produk tradisional yang mengandungi Hempedu Bumi boleh memberi kesan sampingan seperti ketidakselesaan dalam perut, muntah dan kehilangan selera makan. Produk ini juga tidak boleh diambil oleh ibu yang sedang mengandung dan ibu yang menyusukan bayi. Tiada kajian atau maklumat mengenai kegunaan hempedu untuk kanak-kanak dengan itu, pengguna perlu mendapat nasihat doktor terlebih dahulu sebelum memberi ubat tradisional tersebut kepada kanak-kanak.
Pengguna juga dinasihatkan untuk memilih produk tradisional yang telah berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Pengguna perlu mendapat nasihat doktor sekiranya mengalami alahan dan kesan sampingan yang berlarutan.
Rujukan
  1. http://agromedia.mardi.gov.my
  2. http://www.myhealth.gov.my


No comments: