Jom Klik Iklan

Monday, April 6, 2015

MAJLIS PERKAHWINAN ANAK PM


Pada 4 April yang lalu, majlis persandingan anak perempuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najwa, 27, bersama pasangannya, Daniyar Kessikbayev, 27, disambut meriah di Taman Tasik Sultan Abu Bakar, Peramu Jaya di sini hari ini.

Ribuan lapisan masyarakat yang datang sejak pukul 10 pagi berkesempatan menyaksikan ke­dua-dua mempelai itu diarak masuk ke pentas persandingan sekitar pukul 1.40 petang diiringi paluan gendang silat Pahang.
Mereka tidak melepaskan kesempatan untuk merakam gambar dan video pasangan pengantin baharu itu.

Terdahulu, Perdana Menteri tiba di lokasi majlis pada pukul 1 petang mengambil kesempatan beramah mesra dan bersalaman dengan te­tamu yang turut disajikan dengan tayangan video majlis akad nikah serta majlis resepsi perkahwinan pasangan tersebut bulan lalu.

Yang hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Ishak Muhamad.

Pemimpin dan ahli UMNO Pahang, ketua jabatan negeri serta daerah juga hadir.
Selepas Nooryana dan Daniyar duduk di pelamin, upacara me­renjis pasangan mempelai disempurnakan tetamu kenamaan de­ngan diakhiri oleh Najib serta isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ketika kedua-dua mempelai dan tetamu menikmati pelbagai hida­ngan masakan tradisional Pahang yang disediakan, mereka dihiburkan dengan persembahan kebudayaan selain oleh artis popular tanah air antaranya Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah serta penyanyi bersuara soprano, Syafinaz Selamat bagi memeriahkan suasana perkahwinan tersebut.

Dalam ucapan penghargaan dan terima kasih selaku tuan rumah, Najib berkata, meskipun majlis bagi meraikan pasangan pengantin itu telah diadakan di Kuala Lumpur, namun beliau berasa tidak lengkap dan sempurna jika tidak diadakan di sini yang merupakan kawasan diwakilinya sebagai Ahli Parlimen.

''Pekan juga merupakan tempat asal turun temurun saya dan keluarga. Justeru amat tepat majlis seperti ini diadakan kerana saya mendapat peluang untuk meraikan saudara mara, sahabat handai dan semua penyokong tegar serta pe­ngundi di Pekan yang telah memberi sokongan padu selama ini.

''Majlis ini ada keunikan kerana wujud unsur gotong-royong cara orang kampung sebab banyak pihak menyumbang untuk menyediakan juadah,'' katanya.
Nooryana mendirikan rumah tangga bersama pasangannya itu dengan majlis akad nikah diadakan di Seri Perdana, Putrajaya pada 19 Mac lalu.

Kata Najib, walaupun sudah berkahwin, Nooryana akan meneruskan pengajian, menunjukkan anak perempuannya itu mempunyai iltizam dan kekuatan dalaman untuk mencapai impiannya.

''Jadi, tiada apa yang boleh menghalang kalau kita mempu­nyai azam dan bekerja bersungguh-sungguh untuk mencapai apa juga matlamat hidup,'' ujarnya yang mendoakan kedua-dua mempelai memperoleh kebahagiaan sehingga akhir hayat.

Tahniah diucapkan kepada pasangan pengantin.

No comments: