Jom Klik Iklan

Monday, December 1, 2014

HATI-HATI DENGAN PENGAMBILAN UBAT KETIKA MENYUSUKAN ANAK

PILIH UBAT DALAM TEMPOH MENYUSUKAN ANAK



Kementerian Kesihatan menggalakkan amalan penyusuan susu ibu kepada bayi yang baru lahir. Amalan penyusuan susu ibu adalah diet terbaik untuk bayi kerana ia memberi fa­edah nutrisi yang lengkap dan berupaya meningkatkan sistem pertahanan tubuh daripada jangkitan kuman. Ia juga boleh mengurang­kan risiko alahan kepada bayi.

Tempoh penyusuan ibu yang disaran adalah sehingga anak berusia dua tahun. Sepanjang tempoh itu ada kalanya pengambilan ubat-ubatan adalah satu keperluan kepada ibu.

Ramai ibu yang menyusukan anak tidak pasti sama ada boleh meneruskan penyusuan atau tidak jika mengambil ubatan. Justeru penting bagi ibu yang menyusukan anak mengetahui jenis ubat-ubatan yang berse­suaian diambil atau sebaliknya ketika tempoh penyusuan.

Kerisauan timbul kerana ada ubat-ubatan yang diambil boleh meresap masuk ke dalam susu ibu. Situasi seperti ini boleh mendatangkan kemudaratan kepada bayi jika kepekatan ubat yang memasuki susu ibu adalah tinggi.

Selain itu, fungsi organ seperti hati dan buah pinggang pada bayi yang baru lahir belum cukup matang. Keadaan ini menjadi lebih kritikal lagi jika bayi dilahirkan pramatang.
Bagaimanapun, tidak semua ubat-ubatan itu berbahaya jika diambil ketika penyusuan.
Berikut beberapa contoh ubat-ubatan yang perlu diberi perhatian oleh ibu yang menyusukan anak, terutama baru lahir atau pramatang. Ubat-ubatan seperti ini boleh meresap masuk ke dalam susu ibu dalam kepekatan tinggi, seterusnya memberi kesan terapeutik ubat kepada bayi.

Sebagai contoh ubat darah tinggi seperti atenolol, ubat sawan seperti lamotrigine dan phenobarbitone, ubat antikemurungan seperti citalopram, fluoxetine dan venlafaxine, ubat antibiotik seperti metronidazole dan ubat tahan sakit yang selalu digunakan dalam rawatan radang sendi (arthritis) seperti piroxicam.

Contoh seterusnya adalah ubat-ubatan yang tidak selamat diambil ketika penyusuan kerana boleh memberi kesan sampi­ngan kepada bayi yang disusukan. Ubat-ubatan ini untuk rawatan penyakit parkinson seperti amantadine, ubat untuk rawatan jantung seperti amiodarone.

Ubat dalam kumpulan statin untuk rawatan kawalan lipid atau antikolesterol seperti atorvastatin, fluvastatin dan simvastatin, ubat untuk rawatan kanser, ubat untuk rawatan sakit mental seperti clozapine dan ubat untuk rawatan radang sendi (artritis) seperti sspirin dalam dos tinggi dan digunakan secara berterusan.

Ada juga ubat boleh mengurangkan pengeluaran susu ibu dan menyebabkan bayi mudah meragam. Contohnya ubat antihistamin seperti chlorpheniramine dan loratadine, sediaan ubat batuk dan selesema seperti dekstrometorfan dan pseudoefedrin.
Nikotin daripada tabiat merokok atau yang digunakan dalam rawatan terapi gantian, ubat darah tinggi dalam kumpulan diuretics thiazide, ubat hormon kontraseptif mengandungi hormon estrogen dan ubat yang digunakan untuk penyakit parkinson seperti bromokriptin.

Ada beberapa petua bagi me­ngurangkan pendedahan bayi terhadap ubat-ubatan ketika penyusuan. Antaranya, memberhentikan sementara waktu pengambilan ubat-ubatan yang tidak diperlukan.

Jika terpaksa ambil pun, pastikan sebaik selesai menyusukan anak supaya kepekatan ubat tidak terlalu tinggi apabila tiba sesi seterusnya. Penting diingat supaya susukan bayi dulu, kemudian baru ambil ubat atau boleh juga perah susu dulu sebelum mengambil ubat dan simpan susu untuk sesi penyusuan seterusnya.

Ibu perlu berbincang dengan doktor untuk menggantikan ubat yang tidak selamat diambil ketika penyusuan kepada ubat alternatif yang lebih selamat. Jika tiada ubat alternatif yang boleh ditukar ganti, ibu dinasihatkan berhenti menyusukan anak secara keseluruhan atau buat sementara waktu dalam tempoh rawatan menggunakan ubat-ubatan.

Demi memastikan bekalan susu tidak putus, kaedah perah dan buang boleh digunakan. Kaedah ini sesuai diamalkan dalam situasi terpaksa memberhentikan penyusuan anak buat sementara waktu ketika menjalani rawatan menggunakan ubat-ubatan. Kaedah seperti memastikan proses penyusuan boleh disambung semula selepas selesai rawatan kerana bekalan susu tidak putus atau kering.

Mana-mana ubat yang tidak dinyatakan dalam artikel ini tidak bermaksud ia selamat digunakan ketika penyusuan. Oleh itu, ibu harus sentiasa berwaspada dalam pengambilan ubat ketika penyusuan bayi. Minta nasihat daripada doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil sesuatu ubat.

Ingat, susu ibu adalah sumber diet terbaik untuk bayi. Oleh itu, berusaha menyusukan anak dengan susu ibu.

Disediakan Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia. Sebarang pertanyaan lanjut mengenai ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) di talian 1800-88-6722.

Saya amat tertarik dengan article ini. Semoga dijadikan panduan untuk ibu-ibu yang menyusukan anak seperti saya.



Sumber : Harian Metro

No comments: