Ramai wanita di Malaysia mengidamkan kulit cerah.
Tidak hairan produk kosmetik untuk tujuan itu semakin meningkat permintaannya.
Fenomena ini semakin berleluasa apabila ramai pengguna, terutama wanita, berani
mengambil ubat secara oral atau suntikan untuk mencerahkan kulit selain produk
kosmetik.
Antara ubat yang semakin berleluasa dijual secara
tidak sah di media sosial dan blog adalah asid Tranexamic. Penjualan ubat ini
bertujuan mencerahkan kulit dengan mengambilnya secara oral atau suntikan.
Ubat ini juga dijual secara kombinasi dengan
suntikan vitamin C bagi memberi kesan lebih ketara kepada penggunanya. Namun,
adakah indikasi sebenar ubat asid Tranexamic untuk memutihkan kulit? Setiap
ubat yang didaftar dengan Kementerian Kesihatan adalah dengan indikasi tertentu
bersama bukti kajian klinikal. Ubat asid Tranexamic didaftarkan untuk mengawal
pendarahan daripada terus berlaku. Ubat ini akan memastikan proses pembekuan
darah terus utuh dan pendarahan dapat dielak atau dihentikan.
Oleh itu, ubat ini kerap digunakan doktor dalam
situasi pesakit wanita mengalami pendarahan haid tidak berhenti atau pesakit
mengalami pendarahan hidung yang berterusan.
Ubat ini juga digunakan untuk mengawal pendarahan
ketika dan selepas pembedahan prostat, pendarahan organ yang abnormal seperti
di paru-paru dan buah pinggang serta rawatan mengubati gejala seperti eritema,
bengkak dan gatal kulit teruk.
Semua ubat mempunyai kesan sampingan, begitu juga
ubat asid Tranexamic. Doktor perlu menimbangkan manfaat dan risiko ubat ini
sebelum diberi kepada pesakit.
Antara kesan sampingan umum ubat asid Tranexamic
adalah pening kepala, sakit sendi, sakit dan kekejangan otot, saluran hidung
tersumbat, sakit perut dan badan lesu.
Kesan sampingan serius dan memerlukan rawatan
segera pula adalah kesan alergi (ruam, gatal kulit, sukar bernafas, bengkak
pada muka, bibir atau lidah), sakit kaki, bengkak dan sakit seluruh badan,
sakit dada, dada berasa ketat dan sukar bernafas, keliru, batuk berdarah,
kurang atau susah membuang air kecil, gangguan penglihatan warna dan kabur,
rasa kebas pada lengan atau kaki, sawan, pening teruk, pendek pernafasan,
muntah dan kelesuan luar biasa.
Ubat asid Tranexamic tidak boleh digunakan jika
pesakit mempunyai sejarah alergi terhadap ubat ini, mengalami penyakit
tromboembolik, gangguan penglihatan warna, wanita mengalami masalah pendarahan
haid tidak teratur, individu mengalami pendarahan otak, darah dalam air kencing
atau pendarahan akibat masalah buah pinggang, ibu mengandung dan menyusukan
anak serta individu menggunakan ubat kontraseptif estorgen dan progesterone.
Individu mempunyai masalah pembekuan darah atau
situasi yang meningkatkan risiko pembekuan darah juga tidak boleh menggunakan
ubat ini. Sebagai contoh, pesakit yang ada masalah injap jantung atau degupan
jantung.
Ubat asid Tranexamic membantu memberhentikan
pendarahan, justeru penggunaannya tanpa pemantauan doktor sangat berbahaya
kerana dikhuatiri berlaku tromboembolisme, yang mana gumpalan darah berlaku
dalam salur darah dan hanyut bersama aliran darah.
Seterusnya gumpalan darah ini boleh tersumbat pada
salur darah penting di otak dan jantung yang menyebabkan berlaku strok dan
serangan jantung.
Ubat asid Tranexamic juga menyebabkan pening kepala
dan akan bertambah teruk jika diambil bersama alkohol atau ubat lain. Ubat ini
juga tidak disyorkan bagi remaja berumur bawah 18 tahun kerana status
keselamatan dan keberkesanan ubat ini tidak dapat ditentukan.
Penyalahgunaan ubat ini dilakukan oleh individu
tidak bertauliah atau ada ilmu dalam bidang perubatan dan kesihatan. Mereka
yang menjual ubat asid Tranexamic biasanya mencadangkan dos penggunaan harian
yang tidak betul, malah ada yang mencadangkan ubat ini dibuka daripada
kapsulnya dan dicampurkan dalam minuman jus buah atau air untuk disapukan pada
muka.
Tindakan seperti ini tidak disyorkan oleh
pengilang, malah tiada bukti klinikal menunjukkan tindakan seperti itu lebih
berkesan dan boleh mencerahkan kulit.
Rakyat Malaysia harus menjadi pengguna lebih bijak.
Jangan mudah percaya dan terpedaya dengan promosi jualan di Internet berkaitan
ubat asid Tranexamic untuk mencerahkan kulit.
Sehingga kini tiada data saintifik bahawa ubat ini
berkesan untuk mencerahkan kulit. Malah, tidak berbaloi jika dilihat harga
jualan ubat ini yang mencecah enam kali ganda harga cadangan jualan runcit oleh
pengeluar.
Pengguna dinasihat mendapatkan nasihat doktor atau
ahli farmasi terlebih dulu sebelum menggunakan produk asid Tranexamic. Jangan
terlalu ghairah ingin memiliki kulit lebih cerah sehingga memperjudikan nyawa
akibat serangan jantung atau strok kesan penggunaan ubat ini.
Ubat ini hanya sesuai digunakan oleh pesakit yang
mendapat rawatan doktor untuk masalah pendarahan, bukan pecerahan kulit.
Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan,
pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan
(National Pharmacy Call Centre-NPCC) di talian 1 800-88-6722.
SUMBER : HARIAN METRO, 28 Dis 2014
No comments:
Post a Comment