Tuesday, December 16, 2014

CINTA SEJATI SEORANG SENIMAN




Kisah cinta sejati Allahyarham Datuk Mustapha Maarof yang menyatakan pendiriannya untuk tidak berkahwin lagi demi cinta luhurnya terhadap arwah isterinya, Allahyarhamah Datin Roseyatimah atau nama sebenarnya Rosnah Jasni yang meninggal dunia pada 14 Disember 1987 telah menjadi kenyataan  semalam. Setelah 27 tahun isterinya meninggal, Datuk Mustapha Maarof, 79, menghembuskan nafas terakhirnya dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur, bersebelahan dengan pusara isterinya.

Di tanah perkuburan itu juga tempat bersemadinya jenazah sahabat baik beliau antaranya Seniman Agung Negara, Allahyahram Tan Sri P. Ramlee, Biduanita Negara, Puan Sri Saloma Ismail, Aman Ramli Jaafar (AR Tompel) dan sahabat karibnya yang juga wartawan terkenal, Allahyarham Aimi Jar.

Dilahirkan pada 1 Januari 1935, beliau dianggap hero legenda Malaya kerana terkenal dengan lakonannya menerusi beberapa buah filem Melayu klasik seperti Bawang Putih Bawang Merah, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Naga Tasik Chini, Yatim Mustapha, Hang Tuah, Seri Mersing dan puluhan karya lain. Saya juga amat meminati lakonannya terutamanya ketika beliau berlakon sebagai putera raja di dalam cerita Bawang Putih Bawang Merah.

Pertama kali beliau menjejakkan kali di Cathay Keris Film yang terletak di Singapura pada awal 1955, kerjaya seninya bermula selaku pelakon tambahan dengan membintangi filem Pendekar Bujang Lapuk yang diterajui tiga sekawan, P. Ramlee, Allahyarham Datuk Aziz Satar dan Allahyarham S. Shamsuddin.

Kemudian, rentetan perjalanan seninya semakin cemerlang tatkala menjadi pelakon pembantu dalam filem Hang Tuah, sekali gus mencipta populariti tersendiri di persada filem Melayu ketika era itu.

Kariernya terus berkembang maju apabila beliau diberi kepercayaan mendukung watak utama beberapa filem Melayu seperti mana yang disebutkan di atas, lalu menjadikannya antara pelakon lelaki Malaya yang disegani sebaris dengan rakan seperjuangannya.

Malah, kekacakannya menjadi pujaan wanita Malaya dan secara tidak langsung menambahkan lagi kemasyhuran dan kegemilangannya.Kacak, segak dan bercakap dengan penuh tertib, itu imej peribadi yang tersimpan kemas dalam sanubari setiap yang mengenali insan berhemah tinggi ini. Jarang sekali dia berbicara tentang hal-hal negatif, jauh sekali melemahkan semangat manusia lain.

Dalam bicara, dia banyak merangsang minda sesiapa jua lawan bicaranya supaya sentiasa mengingati Allah dan berpegang teguh kepada prinsip ‘ buat jahat jangan sekali.’

Merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur, pemilik nama sebenar Mustapha Azahari Maarof itu mengakhiri karier lakonannya menerusi dua buah filem epik iaitu 1957 Hati Malaya (2007) dan Lembing Awang Pulang Ke Dayang pada (2009).
Ketika hayatnya, beliau pernah menerima beberapa pengiktirafan termasuklah Anugerah Veteran dalam Festival Filem Malaysia ke-10 dan Anugerah Tokoh Perfileman Finas 2010.

Beliau merupakan waris kepada pengasas Bank Kebangsaan Melayu, Maarof Zakaria yang telah menubuhkan institusi kewangan tersebut di Klang Street, Kuala Lumpur ketika era pra merdeka.

Arwah ayahnya itu merupakan seorang peguam yang berasal dari Seri Menanti, Negeri Sembilan dan pernah menjawat jawatan awam sebagai pegawai daerah di Perak serta merupakan tokoh perbankan Melayu terawal, kerajaan Malaysia telah mengabadikan namanya di sebatang jalan yang dikenali Jalan Maarof, di Bangsar.

Datuk Mustapha Maarof sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan bergantung sepenuhnya dengan alat bantuan pernafasan selepas dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sebelum dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera Tunku Mizan, Wangsa Maju.


Jenazah beliau telah selamat dikebumikan selepas Zuhur dengan dihadiri ramai penggiat seni tempatan. Beliau meninggalkan tiga anak berserta menantu dan tujuh orang cucu. Al-Fatihah.

No comments:

JOM BACA SURAH AL-KAHFI PADA HARI JUMAAT..

SURAH AL - KAHFI Surat ini terdiri atas 110 ayat, termasuk golongan surat-surat Makkiyyah. Dinamai Al-Kahfi artinya Gua dan Ashhabul Ka...