Jom Klik Iklan

Tuesday, November 4, 2014

GST DAN KESANNYA KEPADA RAKYAT MALAYSIA

APA ITU GST 6% DAN KESANNYA


Rakyat Malaysia akan mula membayar Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) berkuatkuasa 1 April 2015, seperti juga penduduk di negara-negara maju.

Cukai sebanyak 6 peratus ini dikenakan apabila mereka membeli barangan atau melanggan perkhidmatan kecuali bagi barangan dan perkhidmatan tertentu.

Namun, ramai yang masih keliru akan kesan GST terhadap kehidupan harian mereka. Ada yang menyangka mereka perlu membayar sekurang-kurangnya 6 peratus daripada kadar yang ditetapkan kerajaan bagi setiap barangan dan perkhidmatan.

Ramai yang masih keliru apa lagi dengan mereka yang menentang GST pula menyebarkan laporan yang kurang tepat.

FUNGSI GST

GST adalah sejenis cukai penggunaan bertujuan memperkemas percukaian di setiap peringkat rantaian bekalan daripada pengeluar atau pembekal perkhidmatan kepada pengguna akhir (end user).

Diakui pengenalannya bukanlah satu langkah yang disukai rakyat, namun pelaksanaan GST bakal menambah kecekapan sistem percukaian negara di samping menghalang pengelakan cukai.

GST juga membolehkan sistem kutipan cukai menjadi lebih telus. Pada kadar 6 peratus, kerajaan dijangka mengutip sekurang-kurangnya RM30 bilion lagi dalam bentuk cukai setiap tahun.

GST merupakan satu ciri yang sinonim dengan negara maju seperti Singapura. Malaysia dan Brunei adalah dua negara terakhir di rantau ASEAN dalam pelaksanaan GST.



PENGALAMAN SINGAPURA

Ketika Singapura memperkenalkan GST pada kadar 3 peratus, ianya dikenakan terhadap semua barangan dan perkhidmatan, termasuklah barangan keperluan, Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA) Abd Aziz Abu Bakar dilaporkan berkata baru-baru ini.

Namun kerajaan Malaysia mengambil langkah berjaga-jaga dalam pelaksanaan GST agar rakyat tidak terbeban dengan peningkatan kos. Rakyat tidak perlu membayar GST bagi barangan keperluan seperti daging yang tidak diproses, minyak masak dan gula.

Juga tiada GST dikenakan ke atas perkhidmatan seperti bekalan elektrik, pendidikan, kesihatan, tol, transaksi kewangan dan insurans nyawa.

Singapura pula telah mengambil jalan lain untuk menampan impak GST melalui satu pakej 'ofset', iaitu dengan mengurangkan kadar cukai korporat dan cukai pendapatan perseorangan sebanyak 3 peratus, menjadikannya masing-masing 27 peratus dan 30 peratus.

Kadar permulaan GST 3 peratus ketika diperkenalkan di Singapura pada 1994 adalah antara yang terendah di dunia. Tujuan pengenalannya bukannya untuk menjana pendapatan cukai yang tinggi tetapi membiasakan rakyat dengan sistem percukaian baru itu.

Kadar itu kemudian dinaikkan kepada 4 peratus pada 1 Jan, 2003, 5 peratus (1 Jan, 2004) dan 7 peratus (1 Julai, 2007).

Kerajaan Singapura memilih untuk tidak memberi apa-apa pengecualian kerana ia beranggapan langkah itu lebih memanfaatkan golongan berpendapatan tinggi.

Ini kerana keluarga berpunya kebiasaannya berbelanja lebih untuk keperluan (sama ada makanan, perkhidmatan kesihatan atau keperluan lain) berbanding golongan berpendapatan rendah.

APA YANG BAKAL DIBAYAR RAKYAT MALAYSIA

Jadi, berapa yang harus rakyat Malaysia bayar? Adakah mereka harus membayar tambahan 6 peratus kepada jumlah harga barangan dan perkhidmatan?

Dalam satu laporan berita tempatan bertarikh 21 Okt, Pengarah Eksekutif PricewaterhouseCoopers Malaysia, Raja Kumaran dan perunding syarikat itu Tim Simpson memberi penjelasan tentang mekanisma GST dalam cara yang lebih mudah difahami.

Jika sistem percukaian negara ini dilihat dengan lebih dekat, akan didapati rakyat Malaysia telah pun membayar cukai jualan dan perkhidmatan (SST)yang menjadi sebahagian daripada kos barangan dan perkhidmatan tanpa disedari.

Rakyat Malaysia sudah pun maklum dengan cukai 6 peratus bagi perkhidmatan tertentu seperti di hotel dan restoran mewah. Satu lagi cukai penggunaan yang selama ini dibayar rakyat tanpa disedari adalah cukai jualan.

"Sebagai contoh, minuman berkarbonat dikenakan cukai jualan 10 peratus, tetapi lazimnya pengeluar tidak menyatakan cukai itu dalam bil kepada pengguna akhir. Jika minuman itu dikatakan berharga RM11, harga sebenarnya adalah RM10 ditambah dengan cukai sebanyak RM1.

"Bagaimanapun, pengguna menyangka mereka membeli minuman berharga RM11 dan bukannya RM10 ditambah dengan cukai RM1," kata mereka dalam laporan itu.



GST ELAK CUKAI BERGANDA

Mereka berkata SST juga menyebabkan berganda yang merugikan pengguna.

"Di bawah sistem sedia ada mengambil contih di atas, jika kita membeli minuman berkarbonat di hotel, pengguna bukan sahaja membayar cukai RM1.08 tetapi juga tambahan cukai SST 6 peratus yang dikenakan pihak hotel pula," kata mereka lagi dalam laporan yang sama.

Bagaimana pun mereka berkata masalah cukai berganda ini ditangani dalam GST kerana cukai yang dibayar pemilik hotel diperolehi semula dalam bentuk kredit cukai input dan tidak mewakili kos kepada hotel.

Oleh itu di bawah sistem sedia ada, harga minuman berkarbonat itu adalah RM14.58.

Di bawah GST pula, harga minuman yang sama adalah RM13.25, pengurangan sebanyak 9 peratus (atau RM1.33).

Jadi adakah minuman itu menjadi 6 peratus lebih mahal? Tentunya tidak.

Maka pengguna harus maklum pelaksanaan GST ini juga mempunyai banyak kebaikan yang memanfaati mereka.




Sumber : Bernama

No comments: