Jom Klik Iklan

Friday, March 6, 2015

MENCARI JALAN KELUAR

Ayat – ayat ini merujuk kepada pengaruh taqwa dan tawakal kepada Allah SWT dalam mengharungi kehidupan.

... Assalamualaikum... Salam jumaat... Salam Sejahtera... Salam 1 Malaysia....

Terima kasih kepada pembaca yang membaca blog saya. Kalini saya ingin kongsikan untuk peringatan saya dan bacaan semua pembaca berkenaan konsep taqwa dan tawakal. Semoga perkongsian ilmu ini dapat memberi manfaat kepada kita semua.


*Bertaqwalah kepada Allah; dengan kuasaNya Allah akan membuka jalan keluar/penyelesaian bagi seseorang yang sedang menghadapi masalah kehidupan; yang kusut dirungkaikan, yang sulit dipermudahkan, yang kemelut diselamatkan, yang buntu-fikiran diberikan petunjuk, yang luluh-hati dihidupkan kembali harapan yang lebih membahagiakan.

Bagaimanakah bertaqwa kepada Allah? Menurut Rasulullah SAW, taqwa ialah "menta'ati Allah dan tidak mengingkari perintahNya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupakanNya, bersyukur ‎kepadaNya dan tidak mengkufuri nikmatNya". (Riwayat Imam Bukhari dari Abdullah bin Abbas r.a.)‎

Di samping itu, perlu waspada dan tidak tergesa-gesa dalam urusan kehidupan. Waspada terhadap tamak rakus manusia, tipudaya jin dan syaitan, atau kezaliman penganiaya. Saiyyidina Umar r.a. pernah bertanya kepada seorang sahabat bernama Ubai bin Ka'ab r.a. makna taqwa. Ubai lalu berbalas-tanya kepada Umar: "Pernahkah engkau melalui satu jalan yang berduri?" Jawab Umar: "Ya". ‎Tanya Ubai lagi: "Apakah yang kamu lakukan untuk melalui jalan tersebut?".‎Jawab Umar: "Aku melangkah dengan waspada dan berhati-hati". Balas Ubai
: "Itulah taqwa!!!".‎



*Bertawakkallah kepada Allah, akan dicukupkan Allah baginya; ‎setiap kesulitan ‎‎dipermudahkan, setiap cita-cita diupayakan mencapai, perwatakan menjadi lebih tenang, lebih ‎mulia di pandang. Sabda Rasulullah SAW, ‎‎"Barangsiapa yang ingin dirinya menjadi orang yang ‎paling kuat, maka hendaklah ia bertawakkal kepada Allah."‎ Dan dalam satu hadis lain, Baginda ‎bersabda, “Kalau kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benarnya, maka Allah akan ‎memberi rezeki kepada kamu sepertimana diberikan rezeki kepada burung. Burung itu keluar ‎pada waktu pagi dengan perut yang kempis, dan pulang pada waktu petang dalam keadaan perut ‎berisi." 

‎Bagaimanakah bertawakkal kepada Allah? Imam al-Ghazali merumuskan definisi tawakal sebagai ‎berikut, “Tawakal ialah menyandarkan kepada Allah tatkala menghadapi suatu kepentingan, ‎bersandar kepadaNya dalam waktu kesukaran, teguh hati tatkala di timpa ‎bencana, disertai jiwa ‎yang tenang dan hati yang tenteram.‎" ‎

Apabila menyandar dan berserah diri kepada Allah, Allahlah ‎menjadi wakil bagi menyelesaikan ‎persoalan atau masalah, memecahkan kebuntuan dalam upaya mencapai tujuan, mengupayakan ‎apa jua impian, atau menyelamatkan dari sebarang ketakutan, musibah atau musuh.‎ Namun, ‎tawakkal bukan bererti menyandar dan berserah diri kepada Allah semata-mata, sambil ‎menunggu hasil suatu ‎pekerjaan, atau menanti akibat yang baik dari suatu keadaan,‎ atau lansung ‎mengharap pertolongan dariNya. Tawakkal perlu disertai usaha terlebih dahulu ke arah apa yang ‎dicitakan, kemudian bertawakkal. Contohnya, ‎dalam satu riwayat Rasulullah SAW melihat ‎sekumpulan orang yang tidak bekerja. Baginda kemudian ‎bertanya, "Apa yang kalian kerjakan?"‎ ‎Mereka menjawab,"Kami adalah orang-orang yang bertawakal kepada Allah."‎ Nabi SAW ‎bersabda, "Kamu tidak termasuk orang-orang yang bertawakal, tapi bergantung kepada orang ‎lain."‎ Contoh lain pula, ada seorang sahabat Rasulullah SAW meninggalkan untanya tanpa di ikat ‎terlebih dahulu. Ketika ‎di tanya mengapa tidak di ikat, ia menjawab, "aku telah benar-benar ‎bertawakkal kepada Allah". Lalu Baginda berkata,
"Tambatlah dahulu, kemudian bolehlah ‎engkau bertawakkal."‎



Sesiapa mengamalkan ayat ini Insya’Allah akan memperoleh kemurahan rezeki yang tidak disangka-sangka. Mendapat jalan keluar dari segala masalah dan kesulitan.‎ Mendapat perlindungan dari segala musibah dan bala bencana seperti ‎kezaliman dan bencana alam.‎ Serta Allah akan menunaikan segala hajat dan memberi kemudahan dalam setiap urusan.


InsyaAllah, kita cuba amalkan membaca ayat 1000 dinar ini setiap hari. namun disamping itu, kita perlu juga berusaha untuk mencari jalan keluar kerana itulah konsep taqwa dan tawakal yang sebenarnya..  

No comments: